Ombak ilham Shafarin

GELORA-GELORA ombak deras mengisi seluruh ruang kanvas. Pantas dan ganas dengan warna-warna terang seperti merah, jingga dan hitam. Di tengah-tengah keganasan ombak, palitan warna-warna kuning tua bagaimanapun seakan-akan menarik tumpuan audiens ke arahnya. Lukisan bertajuk Allegro I itu merupakan antara 20 koleksi hasil karya pelukis berbakat, Mohd. Shafarin Ghani, 29, yang dipersembahkan dalam satu pameran seni solo bertemakan Oeuvre of Movement No. 1.

Pameran yang berlangsung selama sebulan sejak 8 Ogos lalu menyaksikan kelincahan Shafarin menggabungkan kehalusan seni visual dengan ritma-ritma muzik dalam hasil-hasil karya yang sebilangan besarnya dizahirkan pada tahun ini.

Bagi anak kelahiran Pulau Pinang itu, ombak sesuai sebagai subjek utama lukisannya atas sebab-sebab tertentu. Emosi dan ekspresi Shafarin dengan mudahnya diluahkan menerusi imej-imej tidak statik seperti ombak.

Ada ketikanya bergelora seakan-akan marah dan ada masanya, ombak tenteram seperti hati yang tenang. Permainan ombak Shafarin berjaya dipersembahan dengan lukisan-lukisan bermediumkan cat minyak dan akrilik.

“Sejak enam tahun lalu, saya mula menjadikan ombak subjek utama lukisan-lukisan saya. Ia merupakan hasil yang memerlukan ketelitian tetapi juga membolehkan saya melihat serta mengayakannya menerusi pelbagai sudut dan perspektif,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


Comments are closed.