Ekspresi panel Hup Hoe

MELIHAT karya lukisan lelaki ini, ia seolah-olah diceritakan dalam pelbagai peringkat. Setiap peringkat mempunyai subjek yang saling berkait dengan peringkat sebelumnya sungguhpun ia menggunakan objek yang sama.

“Tema 7th Heaven Series itu mempamerkan lukisan saya dalam tujuh panel yang mana setiap panel mempunyai mesej tersendiri. Panel-panel itu dirungkai mengikut bayangan tona yang berbeza,” kata Ong Oh Hup Hoe ketika ditemui di Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor.

ur_02.1

Membariskan 15 karya daripada tajuk 7th Heaven Series itu Hup Hoe percaya seperti mana fahaman keagamaan yang mengakui manusia mencapai kesempurnaan atau kegembiraan muktamad pada tangga ketujuh kehidupan, lukisannya itu adalah sebagai satu simbol kesempurnaan usaha dan ekspresi.

“Ia bukan satu hasil yang sempurna tetapi usaha kearah kesempurnaan,” jelas Hup Hoe. Katanya lagi, lukisan yang dibahagikan kepada tujuh panel itu walaupun merupakan pendekatan yang berbeza tetapi ia mampu menterjemahkan mesej secara kukuh.

“Ini kerana saya seolah-olah mempunyai lebih banyak ruang untuk bercerita dan meliputi lebih banyak spektrum dalam satu kanvas,” katanya.

Hup Hoe yang menghabiskan masa selama enam hingga tujuh tahun ke atas semua 15 karya 7th Heaven Series itu menggambarkan setiap lukisan sebagai satu saluran mesej. Tertera satu karya lukisan pada dinding bersebelahan pintu masuk Galeri Core Design, Hup Hoe cuba menyampaikan mesej bagaimana kerakusan manusia dalam membina bangunan, meratah bumi dan menebang pokok akhirnya boleh membawa bala.

Walaupun objek lukisan Hup Hoe sangat mudah, tetapi dengan latar warna yang sejuk, mesej serius Hup Hoe tidak membawa nilai provokasi, malah ia mencetus minda untuk berfikir sejenak secara tenang dan rasional.

Bukan itu sahaja, elemen pokok-pokok yang merangkumi majoriti lukisan 7th Heaven Series Hup Hoe turut membawa suasana semula jadi dan tenang di sebalik penyampaian isu yang serius.

“Setiap panel mempunyai pokok tetapi jika diperhatikan bilangan pokok mengecil selari dengan peredaran masa menunjukkan kerakusan manusia mengejar kebendaan dan membelakang soal alam semula jadi,” katanya yang menggunakan pendekatan panel sama ada secara melintang atau menegak.

ur_02.2

Dalam beberapa karya yang lain, Hup Hoe dilihat tampil dengan lukisan abstrak yang disampaikan secara terbuka. Misalnya bagi lukisan seperti Heaven and Earth, The Two Trees dan The Fence. Lukisan yang disebutkan itu hanya menggunakan gabungan tiga elemen alam iaitu tanah dalam tona bayangan keperangan, flora dalam tona bayangan kehijauan dan air pula bayangan warna kebiruan.

“Ia mungkin tampak ringkas tetapi ia satu lagi karya yang mempunyai harapan serta ekspresi mendalam. Misalnya bagi Heaven and Earth, dalam satu dimensi ia kelihatan seperti tanah bersempadan dengan elemen pokok dalam warna hijau dan awan terbuka tetapi jika dilihat terbalik, ia seperti sebuah laut dengan pemandangan matahari terbenam yang cantik. Ini adalah realiti kehidupan dunia. Ia menunjukkan bagaimana satu perkara yang konkrit boleh diinterpretasi secara berbeza hanya kerana pandangan itu berbeza,” jelas Hup Hoe lagi.

Lukisan The Fence juga menjadi tarikan di Galeri Core Design apabila ia menggunakan pepatah Inggeris yang sangat lazim didengari iaitu The other side of the fence is always green. Ia mempamer lukisan secara langsung di mana sebuah pagar papan yang memisahkan dua kawasan, sebuah kawasan yang kosong terbiar dan di sebalik pagar pula pemandangan kehijauan di sebalik awan biru yang tenang.

ur_02.3
SALAH satu karya Hup Hoe bertajuk In Between.

“Walaupun lukisan saya menggunakan warna asas yang mungkin kelihatan mudah, ia sebenarnya banyak menggunakan kerja-kerja yang penuh penelitian. Khususnya apabila saya terpaksa mewarna lima hingga enam lapisan bagi menampakkan warna setiap objek timbul. Saya juga mahu karya-karya ini memberikan impak ekologikal, itu tujuan saya menggunakan imej yang sedemikian, Dalam masa yang sama, karya saya juga diwujudkan untuk menguji persepsi seseorang melihat setiap kisah yang disampaikan dalam sudut yang berbeza,” jelas lelaki yang pernah belajar dalam bidang farmasi di Universiti Sains Malaysia beberapa dekad lalu.

Pameran 7th Heaven Series dipamerkan di Galeri Core Design di Subang Jaya sepanjang bulan Januari ini. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-5633 4348 atau 012-6674348 (Sue) atau e-melkan soalan anda ke sue@coredesigngallery.com.


Comments are closed.