Menterjemahkan Kecantikan

IMEJ seorang wanita seksi yang hanya ‘berkemban’ dengan sehelai beg plastik lutsinar seakan-akan berpijak-pijak di atas kepala seorang lagi wanita berambut perang. Di atas kepala itu, si seksi seperti sangat teruja.

Tampil dengan seluar dalam telus beserta kasut-kasut but plastik, itu bukan satu-satunya tarikan si seksi. Malah, rambut palsu berwarna putih dan bulu mata palsu yang dipakai sekali gus mengingatkan kita kepada siapa tuan punya badan itu.

Ya, wanita berpenampilan kreatif atau Lady Gaga dan Madonna yang dipijak-pijak itu merupakan dua selebriti pilihan pelukis, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan untuk diabadikan dalam karya terkininya.

Gaya pop-surealisme

Di atas dua kain kanvas yang digabungkan, karya berkeluasan 1.22 meter x 1.83 meter itu menjadi platform Lope meluahkan segala ekspresi tentang dua orang ikon pop terkemuka dunia tersebut.

“Saya pilih Lady Gaga sebab dia sangat popular pada masa kini. Lagipun, penampilannya juga sentiasa mengagumkan saya kerana pada kebanyakan masa, ia jauh lebih hebat daripada kotak pemikiran manusia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun bukan peminat tegar kepada wanita 1,001 gaya fesyen itu, Lope, 38, tetap menterjemahkan ideanya dalam lukisan berunsur pop-surealisme.

“Pop-surealisme adalah gaya lukisan saya. Saya meminati kebebasan berimaginasi yang ditawarkan oleh unsur lukisan ini,” jelasnya yang banyak menerima kerja-kerja lukisan secara berkomisen daripada pelbagai sumber. Antaranya termasuk penerbit majalah, komik mahupun menerima tawaran untuk melukis mural.

Hakikatnya, lukisan bernilai RM7,000 yang dihasilkan menggunakan cat akrilik dengan 20 peratus teknik airbrushing itu merupakan karya sulung Lope yang pernah terpampang di dinding galeri. Ia juga merupakan sebahagian daripada karya yang dipamerkan dalam pameran Beautiful People di Galeri Core Design di Subang Jaya, Selangor.

Medium arang

Pameran kali ini turut menampilkan hasil karya pelukis, Ali Nurazmal Yusoff dengan lukisan bertajuk Medicine Seller-Extraordinary. Ali, 32, yang pernah mengadakan dua pameran solo sebelum ini tampil dengan lukisan bermediumkan arang.

Efek warna monokrom hitam putih yang dihasilkan menggunakan arang sangat menyerlahkan idea di sebalik lukisan itu.

“Sebenarnya sudah lapan tahun saya tidak menggunakan arang dalam lukisan. Bagi saya, tidak kira apa jenis media yang digunakan sekali pun, teknik dan strok harus bertempat untuk menterjemahkan idea yang ingin disampaikan,” katanya.

Sebagai satu tema yang sangat subjektif, konteks kecantikan daripada kaca mata pelukis-pelukis dalam pameran kali ini nyata tidak sekadar pada rupa. Koleksi karya daripada sejumlah 11 orang pelukis tempatan kali ini memberi kita peluang untuk menghayati erti kecantikan dari konteks kesenian.

Tampil dengan pelbagai medium seperti cat air, cat minyak, arkrilik mahupun arang, koleksi itu terbukti amat menyerlah dari segi olahan subjeknya.

Seorang pelukis veteran, Ong Oh Hup Hoe yang dihubungi Kosmo! berkata, lukisannya yang bertajuk The Wedding pula diilhamkan daripada watak monyet dalam kisah epik Journey to the West.

Karya yang dihasilkan dengan medium cat arkrilik itu diaplikasikan menggunakan teknik cat air iaitu satu lapisan di atas lapisan lain.

“Lukisan The Wedding mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan. Dalam karya ini, saya cuba mempersoalkan kesahihan sesuatu mitos seperti watak monyet yang cukup popular dalam epik masyarakat Cina ini,” jelasnya ketika dihubungi.

Tidak sekadar melukis suka-suka, Hup Hoe yang berpangkalan di Pulau Pinang turut melihat lukisan berunsur surealisme yang menjadi kekuatannya sebagai medan untuk membangkitkan pemikiran kritikal para audiens.

Tema pameran, Beautiful People kali ini dipilih untuk mendemonstrasikan kemahiran artis menterjemahkan kepercayaan mereka kepada figura-figura yang cantik.

PAMERAN Beautiful People dipamerkan di Galeri Core Design di Subang Jaya bermula 5 sehingga 22 Disember 2010 dan di Studio Straits bermula 25 Disember sehingga 25 Januari 2011. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-5633 4348 atau 012-6674348 (Sue) atau emelkan soalan anda ke sue@coredesigngallery.com.


Comments are closed.