Cirque Du Freak – Berita Harian Paper

Kreativiti empat pelukis tempatan yang menuntut daya imaginasi

MENEROBOS ke satu dimensi baru yang lebih terbuka, mencabar minda dan lari daripada hasil seni konvensional menjadi inti pati utama Pameran Cirque Du Freak, bahasa Perancis yang bermaksud keindahan dunia sarkas galeri. Pameran yang menampilkan empat seniman berbakat besar iaitu Faizal Suhif, Raja Lope Rasydidi, Nor Hisyam Asmawi serta pelukis jemputan, Ali Nurazmal dengan karya sarat imaginasi tinggi, unik dan penuh warna-warni. Pelukis pada pameran ini berjaya memperlihatkan ketaksuban dan sikap gila-gila dalam menghasilkan karya dengan idea di luar ruang lingkup pemikiran lazim sehingga mempesonakan setiap mata yang memandang.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri kreatif tanah air, Raja Lope Rasydidi tampil dengan dua lukisan yang menggabungkan unsur sarkas dengan epik fantasi ala animasi menerusi The Long Vacation II dan Glue and Bold.

“Lukisan Glue and Bold tampak istimewa apabila unsur fantasi diangkat menjadi metafora bagi menggambarkan pertembungan budaya di antara timur dan barat menerusi watak bidadari dalam budaya Inggeris bertemu naga yang kekal menjadi mitos China sehingga ke hari ini.

“Saya cuba mengajak khalayak berfikir dan berimaginasi bagaimana sentuhan ajaib bidadari berjaya melembutkan naga yang diketahui bersifat dominan, gagah dan sukar ditawan,” kata Raja Lope yang menggunakan medium akrilik di atas kanvas untuk karyanya itu.

Nor Hisyam Asmawi pula memilih tema kerohanian, sekali gus mengajak masyarakat bermuhasabah dan mengenal diri menerusi karyanya, Di Balik Cermin Mimpi.

“Lagu sentuhan penyanyi dan komposer berpengaruh tanah air, M Nasir berjudul Di Balik Cermin Mimpi, menjadi inspirasi untuk saya menghasilkan lukisan yang sarat mesej positif agar kembali kepada ajaran agama,” ujarnya yang juga bekas guru sekolah aliran agama itu.

Nor Hisyam turut mengabadikan potret dua figura hebat iaitu pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg dan pengasas syarikat elektronik Apple, Steve Jobs menerusi karyanya, Thanks Bro 1 dan Thanks Bro 2 dengan permainan warna yang sangat kreatif.

Peminat seni lukis pasti berpuas hati melihat hasil karya pelukis paling muda yang terbabit dalam pameran kali ini, Faizal Suhif, 27, yang menggunakan bahantara arang dan cat minyak di atas kanvas untuk menghasilkan karya unik, Sebatas Siang dan Sebatas Senja.

Dua karya pelukis jemputan yang juga graduan Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ali Nurazmal berjudul One In A Million dan Supplier, juga tidak kurang hebatnya kerana walaupun tampak santai, tetapi memerlukan daya interpretasi yang mendalam untuk memahami karyanya.

Pameran yang berlangsung sehingga awal Januari ini membuktikan anak tempatan juga mampu melahirkan karya kreatif setanding pelukis antarabangsa dengan mengetengahkan idea segar, penuh kelainan dan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

INFO

Cirque Du Freak

Lokasi: Core Design Gallery, 87, Jalan SS15/2A Subang Jaya, 47500 Selangor

Tarikh: sehingga 8 Januari 2012

Masa: 10 pagi hingga 7 malam setiap hari

Artis: Faizal Suhif, Raja Lope Rasydidi, Syam Asmawi dan turut menampilkan Ali Nurazmal

Maklumat lanjut: 012-6117976 (Scarlett Lee) atau layari www.coredesigngallery.com


Comments are closed.