Beautiful Mind buka minda Pelukis

Ahli falsafah dunia dan cendekiawan sentiasa memperkembangkan, mendalami dan menyelinap setiap sudut runag kotak minda seniman dengan mempelajari and mengkaji daripada aspek psikologi dan mental. Perkara paling utama adalah bagaimana minda mampu menpengaruhi hasil akhir sesebuah karya dan apakah perjalanan atau liku-liku yang dilalui sebelum karya tersebut sampai pada destinasinya.

Mengambil kesempatan tersebut, Galeri Core Design membuka lembaran baru tahun 2012 dengan mempersembahkan sebuah pameran seni bertajuk Beautiful Mind mulai 5 Februari lalu hingga 18 Mac depan. Pameran ini ialah kesinambungan daripada pameran Beautiful People yang pernah diadakan di galeri ini, awal tahun lalu. Dalam pameran berkumpulan kali ini, artis tidak hanya menitik beratkan soal representasi, dengan menggunakan pelbagai kaedah dalam menyampaikan mesej tersirat di sebalik karya. Ini dilakukan melalui pembacaan serta pemahaman kotak minda artis itu sendiri, sama ada dalam medium lukisan, arca atau instalasi.

FANTASI HUMOR

Mempertaruhkan lukisan bertajuk The Apple Effect, Raja Lope Rasydi, 38, mengolah idea bagi mewujudkan suasana fantasi humor. Karya ini diadaptasi daripada watak seharian dengan orang sekelilingnya dan beliau cuba menghidupkan watak realiti ke dalam watak fantasi. “Ini banyak dipengaruhi filem animasi antarabangsa dan komik anime, seperti yang diarahkan pengarah Tim Burton dalam epik fantasi yang berunsurkan dunia fantasi dan imaginasi tanpa sempadan,” jelasnya.

Beliau berkata, The Apple Effect membawa satu penceritaan kronologi yang terkait dengan karya yang dihasilkannya sebelum ini. Baginya, epal dalam karya ini ialah fantasi di bawah alam sedar seseorang apabila memakan epal dan pandangan klise realiti bertukar kepada pandangan dimensi imaginasi tanpa batasan. Menurutnya lagi, kebanyakan lukisan yang dihasilkannya adalah bersifat humor. Beliau mahukan lukisannya dapat menghiburkan orang seterusnya melihat mereka tertawa atau sekadar tersenyum. “Saya tidak suka apabila lukisan saya dinilai dengan muka berkerut sambil memikirkan apa yang cuba hendak disampaikan,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi pameran kali ini, konsep lukisan yang diketengahkan adalah jalan cerita. Ada tiga bahagian ynag hendak ditunjukkan dalam lukisan ini yang meletakkan rakan sebagai watak utama. “Ini adalah sidiran sinis untuk mereka juga mengingati kenangan bersama mereka sebab banyak menolong saya dalam bidang ini. Alam fantasi juga banyak membantu saya dalam mendapatkan idea. Saya sangat berminat dengan komik, filem animasi malah sebahagian idea datangnya daripada pengalaman sewaktu kecil dahulu,” selorohnya.

BERSIFAT MENDIDIK

Dalam pada itu, Raja Lope nerharap agar semakin ramai yang akan mengunjungi galeri ini pada masa akan datang dan akan menerima konsep lukisannya itu. “Saya akan terus membesar di sini tetapi akan cuba keluar ke tempat lain bagi mencuba nasib selain berharap konsep saya akan lebih difahami dan terhibur dengan lukisan yang dihasilkan,” katanya.

Bagi Norhisyam Asmawi, 38, pengalamannya menjadi tenaga pengajar membuatkan lukisan yang dihasilkan pada pameran kali ini lebih kepada bersifat mendidik. Bertajuk Potret Sang Penyihir mengisahkan kepada perubahan persepsi seni adaptasi pada pameran The Society of Independent Artists di New York, ‘Marcel Duchamp’ dengan urinal yang ditulis R Mutt, 1917 yang telah mencetuskan fenomena dalam dunia seni rupa moden. “Sejak itu paradigma dan sejarah seni rupa moden pun berubah apabila found object mula dihargai dan dinilai setaraf dengan high art culture. Jadi, saya menggelar Duchamp sebagai penyihir kerana telah mengubah persepsi seni,” katanya.

Minat mendalam dalam bidang seni telah menyebabkan beliau meninggalkan kerjayanya itu dan cuba berdedikasi melalui seni visual. “Menerusi lukisan yang dihasilkan, saya cuba membawa unsur positif dengan cara yang lebih kreatif dalam usaha mengajar dan mendidik,” katanya yang menggunakan medium cat minyak.

MESEJ MUDAH

Pelukis, Arif Fauzan Othman, 32, pula membawakan karya bertajuk Velvet, iaitu lukisan sambungan daripada pameran Beautiful People. Karyanya itu bermatlamat mengenai apa yang dirasa apabila melihat sesuatu berdasarkan konsep realisme yang dibawakannya. Beliau yang bergiat secara serius dalam bidang seni sejak 2005 berhasrat untuk mengadakan pameran solo pada Jun ini dan berpendapat bidang seni merupakan satu bidang yang menarik untuk diceburi.

Sementara itu, Ali Nurazmal Yusoff, 33, mempamerkan dua jenis lukisannya yang bertajuk Feeling Good dan The Observer yang dilukis menggunakan cat minyak. “Feeling Good menyampaikan mesej rasa senang umpamanya apabila seseorang itu selalu menggunakan apa saja barang dan secara umumnya di Malaysia, pengguna menggunakan barang seperti komputer dan telefon bimbit juga rokok. Saya hendak menunjukkan rasa senang itu sehinggakan akhirnya jadi negara pengguna. Kita tidak mengeluarkan dan mencipta jadi tiada individu yang mempunyai kemahiran seperti itu,” katanya. Bagi karya kedua pula, The Observer membawa konsep realisme dan lebih kepada sentuhan pendekatan akademik.

Antara karya lain yang turut dipamerkan bersama termasuk pelukis muda Muhammad Akhmal Asyraf Mohd menerusi Hope, Abdul Hafidz Mohamad Shabri (Warming Up), Mohd Haafiz Shahimi (Limitless) dan Jamil Zakaria (Mulut Berbisa).


Comments are closed.