Galeri Core Design Ekspresi Seni & Rekaan

Pasangan suami isteri berganding bahu menyediakan platform seni untuk pupuk kesedaran orang awam

Luarannya hanyalah sebuah rumah teres dua tingkat. Namun, siapa sangka rumah yang terletak di Subang Jaya itu mempunyai keistimewaannya tersendiri apabila dekorasi di dalamnya diubah suai menjadi sebuah galeri seni dan studio reka bentuk butik yang menarik.

Ternyata pengorbanan Scarlette Lee, 34, yang sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang farmasi selama 10 tahun berbaloi apabila menyaksikan Galeri Core Design kian mendapat tempat dalam kalangan artis dan turut menarik kunjungan orang ramai. Beliau yang juga Pengarah seni Galeri Core Design berkata, galeri tersebut lahir daripada keghairahan beliau dan suami, Tan Chun Hooi, 38 dalam mengejar impian mereka terhadap bidang seni.

“Saya adalah penggemar seni dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai seni visual, manakal suami adalah arkitek rekaan. Jadi kami sepakat untuk menwujudkan galeri dengan menggunakan kepakaran masing-masing. Konsep seni bina dan reka bentuk dalaman galeri datang daripad idea suami manakala saya bertindak dalam menghiasi dan melengkapkan ruang pameran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di galerinya, baru-baru ini.

Galeri Core Design beroperasi sebagai galeri seni dan bengkel rekaan sejak ia ditubuhkan Jun 2010. Ini bertujuan memupuk kesedaran kepada orang ramai behawa seni dan rekaan boleh disatukan.

TONJOL TIGA ELEMEN CORE

Scarlette berkata, galerinya itu giat mempromosi dan memperkembangkan ruang serta tapak berkarya bagi seniman visual tempatan yang sedang meningkat naik melalui revolusi karya kontemporari mereka. “Pada setiap bengkel pameran, kami menggabungkan tiga unsur elemen Core iaitu bidang rekaan arkitek, hiasan dalaman dan seni halus (fine art). Selain itu, kami juga menekankan kreativiti dalam membentuk ruang kediaman sebagai ruang seni,” katanya.

Beliau berkata, nilai asas galeri itu terletak kepada keluasan ruang kediaman yang boleh dimodifikasikan bagi mewujudkan satu pengalaman berasaskan keselesaan yang dihargai. Galeri Core Design mempunyai portfolio 60 artis seni visual tempatan yang terlibat dalam pelbagai pameran yang pernah dianjurkan. “Antara artis yang menjadi keutamaan ialah Ali Nurazmal Yusoff, Raja Lope Rasydi, Norhisyam Asmawi, Faizal Suhif, Ong Oh Hup Hoe dan Shafarin Ghani. Walau bagaimanapun, kami akan terus mempertingkatkan lagi jumlah barisan artis pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai pameran seni melibatkan ramai artis yang berjaya dilaksanakan sepanjang operasi galeri. Antara pameran menarik adalah Cirque du Freak, Oeuvre of Movement No.2, ROAR of the Brutalists, Figurativismo, This is It-Black and White, 7th Heaven Series, Beautiful People dan Surreallusion. “Ini dikuti dengan pameran yang berkait rapat dengan artis tertentu seperti String Quartet bagi Shafarin Ghani iaitu seorang pelukis dan simfoni komposer,” jelasnya. Pihak beliau turut bekerjasama dalam pemasangan dan mempamerkan hasil karya penggiat seni visual dalam arca Brutalism ketika pameran ROAR of the Brutalists.

BUKAN STEREOTAIP

Galeri Core Design membuka lembaran baru 2012 dengan menganjurkan sebuah pameran seni bertajuk Beautiful Mind yang merupakan kesinambungan daripada pameran Beautiful People pada awal tahun lalu. Scarlette berkata, pameran kali ini tidakn hanya menitikberatkan soal representasi semata-mata kerana artis terlibat menggunakan pelbagai kaedah untuk menyampaikan mesej tersirat di sebalik karya yang dilahirkan melalui pembacaan serta pemahaman kotak minda artis itu sendiri, sama ada dalm medium lukisan, arca atau instalasi.

“Ini bukan lagi berkait dengan realiti stereotaip iaitu gambar yang diambil menggunakn kamera digital. Sebaliknya, ia sesuatu yang terhasil dan diolah di sebalik gambar yang dirakam menggunakn kamera, bersifat statik, kekal serta diolah daripada perkara sekeliling,” katanya.

Menurutnya, pameran itu dirasmikan Duta Besar ke Jordan, Maher Ahmad Lukasha pada 12 Februari lalu. Beliau berkata, orang ramai dipelawa menyaksikan hasil karya seni 14 artis melalui pameran yang diadakan sejak 5 Februari lalu hingga 18 Mac ini di Galeri Core Design di 87, Jalan SS15/2A, Subang Jaya. Galeri ini dibuka setiap hari bermula pada jam 10 pagi hingga 7 petang. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Scarlette melalui laman sesawang http://www.coredesigngallery.com.


Comments are closed.