Batasan kehidupan manusia – Utusan Malaysia Paper

Lagu tersebut sudah tentu tidak asing dalam kalangan masyarakat di negara ini, lebih-lebih lagi apabila ia dinyanyikan oleh Ratu Rock, Ella.

Bagaimanapun, rama-rama yang dilukis oleh seniman muda tempatan, Haafiz Shahimi amat berlainan daripada yang lain.

Karya berbentuk Surrealist ini tampak kemas dan sesuai dengan tajuknya, Limitless. Ia membolehkan rama-rama itu mengingatkan kita mengenai kebesaran dan kehebatan-Nya.

Biarpun tidak ramai pelukis menjadikan serangga kecil itu sebagai subjek utama kepada lukisan mereka, Haafiz nyata bijak menggabungkan keindahan ilustrasi berteori psychoanalysis daripada Sigmund Freud.

Malah beliau secara tidak langsung berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan identitinya selaku seniman yang sedang mengukir nama bersama media campuran.

Keringkasan dan kedalaman makna yang tersirat dalam karya itu membawa maksud yang tersendiri, bergantung kepada mereka yang menilainya.

Kitar hidup rama-rama bangkit kesedaran

Haafiz berkata, rama-rama merupakan sejenis serangga yang unik dan sayapnya cantik dihiasi dengan pelbagai warna.

“Kitar hidup rama-rama yang dinamakan metamorfosis itu amat menarik diperhatikan bermula dari telur, larva (ulat bulu), pupa dan akhirnya menjadi imago (rama-rama).

“Pada permulaannya, telur akan mengeluarkan ulat bulu yang kelihatan hodoh dan hanya boleh merayap di pokok-pokok dan memakan dedaun.

“Sampai suatu masa, ulat bulu akan menjadi pupa atau dalam bahasa mudahnya menjadi kepompong dan bersedia untuk menjadi rama-rama.

“Setelah sampai suatu tempoh, akhirnya keluarlah rama-rama yang cantik. Ia hebat dan indah bukan?,” jelasnya ketika ditemui di Galeri Core, SS 15, Subang Jaya.

Berbalik kepada karyanya itu, beberapa pengajaran atau ulasan boleh diperhatikan.

“Rama-rama dilihat manusia sebagai satu hidupan yang terbang bebas dengan aman damai tanpa ada musuh atau masalah.

“Proses kitaran hidupnya juga mirip dengan proses kelahiran manusia. Sebab itu, saya pilih serangga ini bagi menggambarkan kehidupan yang mempunyai perjalanan yang amat panjang dan penuh berliku.

“Kehidupan adalah suatu perjalanan panjang yang perlu dilalui oleh setiap manusia dengan betul supaya kelak akhirnya sampai ke matlamat yang benar,” katanya.

Dianggarkan lebih daripada berjuta spesies rama-rama telah dikenal pasti dan kehidupan mereka amat singkat.

Menurutnya, karya Limitless ini menerangkan mengenai kehidupan di dunia hanyalah sementara dan tidak kekal.

“Saya cuba untuk menceritakan kehidupan rama-rama yang hidup di atas muka bumi ini dengan pelbagai rintangan hingga akhir hayat.

“Walaupun ia hanyalah satu karakter kecil pada pandangan ramai, tetapi ia menarik minat penonton yang menyaksikannya,” ujarnya.


Comments are closed.