Bermain dengan fantasi – Utusan Paper

IMAGINASI merupakan daya fikiran yang hebat bak bakat semula jadi yang ada pada diri seseorang individu. Malah daya fantasi yang diluahkan dalam karya kesusasteraan menarik minat pelbagai latar belakang peminat dalam cara tersendiri.

Melihatkan genre fantasi semakin diminati ramai, maka para seniman juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan karya sedemikian.

Antaranya ialah Raja Lope Rasydidi Raja Rozlan, 39, yang memilih tema tersebut dalam kebanyakan karya-karya yang dihasilkannya.

Terapi fobia

Raja Lope berkata, karya seperti Behind My Wall memaparkan sentuhan kesenian surrealism sebagai terapi fobia.

“Saya banyak menghasilkan karya-karya berbentuk dark horror yang diinspirasikan dari filem ke atas kanvas.

“Dalam karya ini, saya memaparkan pelbagai watak fantasi yang terdapat di belakang dinding.

“Idea penghasilan karya ini, saya dapati daripada tingkah laku kanak-kanak yang selalu meletakkan telinga mereka ke dinding untuk mendengar pelbagai bunyi pelik.

“Malah secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut juga berimaginasi dan berfantasi bahawa adanya makhluk misteri tinggal di dalam dinding tersebut,” jelasnya ketika ditemui S3 pada pameran Ahmad Scissorshand di Core Design Gallery.

Dalam pameran tersebut, karya Raja Lope dijadikan simbolik manusia menghadapi ketakutan seperti masalah fobia.

“Sejak kita dilahirkan, kita sering berhadapan dengan masalah fobia seperti takut dengan labah-labah, ular, ketinggian dan tengelam di dalam air.

“Saya berharap agar orang ramai dapat menghayati karya ini sebagai bahan hiburan, bukan sekadar lukisan semata-mata,” katanya.

Dari segi pelaksanaan visualnya, karya-karya beliau turut menggunakan kaedah semburan cat angin (air brush) atas kanvas.

“Teknik semburan angin atas kanvas jarang digunakan seniman tanah air dan saya memilih kaedah ini untuk diterokai.

“Selain itu dengan sentuhan berbentuk tiga dimensi, ia juga menghidupkan lagi watak-watak kelakar.

“Saya nak lihat pengunjung berhibur dengan gelak ketawa mereka ketika menghayati karya ini kerana niat saya menghasilkan karya adalah semata-mata untuk menghiburkan peminat seni,” ujarnya.


Comments are closed.