Perang larut atas kanvas – Utusan Paper

KEADAAN tidak terkawal akibat perebutan kuasa mengawal kawasan lombong bijih timah akhirnya membawa padah kepada pembesar Melayu, kaum Cina dan juga pentadbir British di Negeri-Negeri Selat ketika itu.

Sebagai pengajaran buat generasi akan datang, perang tersebut dicatitkan atas kanvas oleh anak kelahiran Taiping, Liu Cheng Hua.

Baginya sejarah tersebut amat menarik untuk dikaji dan dijadikan sebagai bahan kesenian lebih-lebih lagi apabila ia turut mendapat sentuhan kesenian tempatan dan masyarakat Cina.

Cheng Hua berkata, peperangan ini sangat berkait rapat dengan masyarakat Melayu dan Cina sehingga termeterai Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

“Menurut sejarah alam Melayu, menjelang tahun 1861, persaingan di antara pelombong bijih dari kongsi gelap Go-Kuan dan Si-Kuan meledak menjadi peperangan terbuka merebut kawasan lombong bijih.

“Disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel Cavenagh campur tangan dan meminta Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan.

“Mereka terpaksa berdamai setelah dipujuk oleh Ngah Ibrahim tetapi kumpulan pelombong tersebut masih tidak berpuas hati dan keadaan masih tegang,” katanya ketika ditemui di Core Design Gallery.

Menurutnya, pada bulan Jun 1865, Perang Larut kedua meletus dan ia dicetuskan oleh perbalahan kumpulan kongsi gelap ketika berjudi.

Kumpulan Hai San telah menawan 14 orang ahli kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan dan 13 daripada mereka telah dibunuh kejam.

Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San dengan membakar bangunan, rumah kampung dan hampir 40 orang penduduk terkorban.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila Sultan Ali yang merupakan Sultan Perak ketika itu mangkat pada tahun 1871.

Selepas baginda mangkat, perebutan kuasa berlaku di kalangan tiga orang pembesar Melayu iaitu Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Pada masa yang sama, Perang Larut ketiga tercetus akibat skandal melibatkan Lee Ah Khun, seorang pemimpin Ghee Hin dengan isteri kepada anak saudara Chung Keng Quee.

Selepas hubungan mereka diketahui, mereka ditangkap, diseksa dan dibiarkan lemas dalam sebuah lombong terbiar.

Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dengan dengan membawa 4,000 orang pejuang dari negeri China yang dibawa masuk melalui Pulau Pinang untuk menyerang kumpulan Hai San.

Buat kali pertamanya, kumpulan Hai San tewas dan diusir keluar dari Klian Pauh dan 10,000 pengikut Hai San mencari perlindungan di Pulau Pinang.

Ngah Ibrahim membantu kumpulan Hai San dan akhirnya mendapat semula kawasan perlombongan mereka di Klian Pauh.

Dalam masa yang sama, Raja Abdullah yang cuba merebut jawatan Sultan menyebelahi kumpulan Ghee Hin dan menentang Ngah Ibrahim.

Perang Larut itu berkesudahan dengan perpecahan dikalangan pembesar Melayu dan mereka menjadi berpuak-puak serta bersengketa semasa sendiri.

Secara tidak langsung ia melemahkan kedudukan pembesar Melayu sehingga tercetus Perang Larut keempat pada tahun 1873.

Selepas kumpulan Hai San dengan bantuan Ngah Ibrahim menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, kumpulan Ghee Hin yang disokong oleh Raja Abdullah menyerang balas.

Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan.

Kekacauan merebak ke daerah Krian (Pangkor) dan Dinding sehingga Raja Abdullah menyingkir Sultan Ismail daripada takhta Perak dan mentabalkan dirinya sebagai Sultan.

Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British dan akhirnya William Pickering dihantar ke Larut untuk berunding mengenai isu-isu keamanan dengan kaum Cina yang sedang berbalah.

Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.

Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh pihak-pihak yang berbalah di atas sebuah kapal meriam British bernama HMS Pluto.

“Karya Perang Larut ini saya berikan tajuk Complacency dan saya berharap agar masyarakat akan datang akan sedar yang kepuasan tidak akan tercapai dengan pergaduhan seperti yang berlaku di Larut.

“Menariknya karya ini adalah kerana saya terapkan sentuhan kesenian masyarakat Cina. Sebagai seorang pelukis, saya perlu berpijak dibumi yang nyata sebab itu saya gemar hasilkan karya yang mempunyai nilai-nilai sejarah,” katanya.

Beliau berkata, karya ini juga secara tidak langsung mencatitkan sejarah kehidupan masyarakat Cina di Malaysia.

“Dalam karya ini saya cuba pamerkan kelainan menggunakan buah catur Cina dan bentuk ikan yang diperbuat daripada besi.

“Harapan saya adalah masyarakat di negara ini bersatu dan cuba untuk menyelami perasaan tanpa perlu bergaduh.

“Ngah Ibrahim sebagai orang Melayu banyak mainkan peranan penting ketika beliau membuka peluang untuk orang-orang Cina bekerja di tanah Melayu.

“Jika semua bangsa bersatu di Malaysia maka kita boleh memajukan negara ini,” katanya.

Tambah Cheng Hua, ketika karya ini dihasilkan secara kebetulan insiden kekecohan seperti berlaku di Larut terjadi akibat perhimpunan Bersih yang diadakan di sekitar ibu kota.

“Kalau kita tidak berpuas hati, kenapa tidak dibawa berbincang dan sebagai manusia kita tidak boleh terlalu mengikut emosi.

“Lihat sahaja sejarah dahulu, jangankan kerana hal kecil kita bersengketa sesama sendiri dan akhirnya tiada pihak yang untung,” katanya.


Comments are closed.