Syam Asmawi dalam kenangan – Utusan Malaysia

Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama Syam Asmawi (1974-2012) terkenal dengan ilusi atas kanvas menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu, 5 Mei 2012, ketika berumur 38 tahun.

Kekal dikenang kerana sumbangannya menghasilkan karya-karya menguji minda, komuniti seni tempatan terasa kehilangan kerana bakat yang ada pada insan yang dahulunya bergelar seorang guru agama.

Syam hanya sempat berkarya dalam tempoh hampir 20 tahun bermula dari penghasilan potret dan dua tahun sebelum ini beliau mula menerokai unsur surrealisme ke arah pemahamannya.

Daripada seorang guru, beliau lebih gemar memilih laluan mengikut minat tersendiri.

Jika diperhatikan kerja seninya terperinci dan banyak dipengaruhi gaya Salvador Dali dan Michael Duchamp.

Pemergian beliau kekal sebagai seorang seniman dan seorang suami penyayang bagi isterinya (Nor Roszana Mohd. Maasom) serta bapa kepada dua anaknya (Muhammad Afkar dan Muhammad Aflah).

Syam dilahirkan di Perak. Belajar melukis dengan hasil usaha sendiri dan strok kontemporarinya sukar dicari ganti lebih-lebih lagi setelah dicampur dengan unsur realisme tiga dimensi (3D) .

Syam menyifatkan bagaimana seni menjadi suatu perjalanan pencarian diri kerana dia seolah-olah bertemu dengan dirinya ketika melukis.

“Saya berkarya melalui bayangan diri sendiri. Ia membangkitkan deria yang cantik dilihat tetapi asing dalam perasaannya,” katanya baru-baru ini.

Kali terakhir bertemu dengan Allahyarham di Studio House of Matahati (HOM), beliau berkata, pelbagai perkara boleh diterjemahkan tetapi semuanya hanya ilusi dan helah dalam mempersembahkan hasil seni yang bersifat eksperimental.

Malah sebelum pertemuan tersebut, penulis telahpun bertemu dengannya ketika pameran Beautiful Mind di Core Design Gallery, Subang Jaya, Februari lalu.

Melihatkan kerja seninya membuatkan penulis teruja untuk berkenalan dengannya dan selepas mengenalinya barulah penulis sedar yang Syam lebih gemar tersenyum dan membiarkan kerja seninya berkata-kata dengan sendirinya.

Sukar bagi penulis mencari perkataan paling sesuai bagi menggambarkan kebolehan yang ada pada insan bernama Syam Asmawi.

Tribute: The Late Syam Asmawi

Pengarah Core Design Gallery, Scarlette Lee, berkata, galerinya kini mengadakan pameran berbentuk amal yang ditujukan khas buat Allahyarham Syam Asmawi bertajuk Tribute Charity Show- The Late Syam Asmawi bermula 24 Jun hingga 8 Julai 2012.

“Pameran ini berjaya menghimpunkan sejumlah besar karya yang dihasilkan oleh Syam dan pihak Core Design Gallery berbesar hati untuk membantu menjual karya beliau.

“Wang yang dikumpulkan dalam pameran ini akan disumbangkan kepada anak dan isterinya,” jelasnya.

Menurutnya, tujuan sebenar Core Design Gallery mengadakan pameran tersebut adalah untuk menonjolkan bakat Allahyarham.

“Syam merupakan seorang seniman yang berbakat besar dan disenangi ramai malah dia juga sentiasa menerima kritikan orang lain dan tidak pernah berputus asa.


Comments are closed.