Alism -Identiti Ali Nurazmal (Sinar Harian Paper)

Bukanlah mudah untuk bergelar seorang artis. Namun itulah yang diakui oleh pelukis, Ali Nurazmal Yusoff, 34, yang mula melukis ketika berumur sembilan tahun dan sejak itu tidak pernah berhenti.

Beliau juga beranggapan tidak semua pelukis mudah dikenali kerana bidang seni yang diceburinya itu memerlukan ketekunan, kesabaran dan daya kreativiti yang tinggi, selain teknik dan pengetahuan daripada segi bancuhan warna yang pekat.

“Setiap pelukis memerlukan latihan, disiplin dan strategi untuk melengkapkan pakej sebagai seorang pelukis. Saya ambil masa lebih 10 tahun untuk mencuba. Dari satu percubaan hingga ke ratusan percubaan dan ada yang saya gagal tetapi saya tidak pernah putus asa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau akan cuba mengekalkan idea sedia ada dengan konsep dihasilkan tetapi mungkin pengelolaannya akan berubah mengikut keadaan dan perkembangan yang lebih dramatik.

Dengan pengalaman yang lebih sedekad itu, beliau akan berkongsi bersama peminatnya menerusi karya yang dihasilkan melalui pameran seni solo pertamanya bersama Galeri Core Design pada 2 September hingga 30 September ini.

Bagaimanapun, katanya, pameran seni yang bertemakan Alism itu akan mengadakan pembukaan pra pelancaran pada 10 Ogos ini khas buat tetamu kehormat terutamanya peminat dan pengumpul hasil seni lukis.

Ali Nurazmal berkata, Alism bermaksud perjalanan mencari aliran gelombangnya yang tersendiri dalam memecahkan tembok tradisinya kepada satu gaya baru.

Baginya, ini adalah tahap klimaks kejayaannya sebagai seorang artis berkaliber dan ikon dalam arena seni kontemporari di negara ini.

“Ali ialah nama saya. –ism ialah pandangan atau aliran. Jadi hasil karya itu adalah pandangan saya. Kemungkinan Alism itu akan menjadi faktor penentu dalam menghasilkan karya yang lebih segar pada masa depan,” katanya.

Pandang Caravaggio

Ali Nurazmal, kali ini memberitahu kali ini mempersembahkan hasil karyanya dalam seni lukis bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Saya gabungkan semua pengalaman yang ada iaitu daripada segi idea, konsep dan teknikal yang disatukan dalam satu persembahan. Jika peminat seni yang hadir ke persembahan ini, mereka boleh lihat kelainan yang ada antara setiap lukisan yang dipersembahkan,” katanya.

Beliau mahu orang melihat karyanya dan kenal bahawa inilah Ali Nurazmal Yusoff. Peminat seni akan nampak akan identiti tersebut sama ada daripada sudut teknikal, idea, imej atau visual. Daripada kanvas kosong, tidak ramai yang boleh menghasilkan karya yang cantik dan menarik untuk diperhatikan walaupun ramai antara kita boleh melukis.

Seiring dengan kejayaannya sebagai artis yang kian meningkat naik (mid-career) dia meneruskan lagi dengan mencipta sebuah lagi karya agung. Selepas Imitation Master – After Caravaggio, Ali Nurazmal tampil dengan karya yang lebih ekspresif, dengan susunan komposisi yang pelbagai dan juga seiring dengan pengetahuan dan pengalaman yang lebih matang berkembang.

“Saya membawa Caravaggio ke dalam dunia seni kontemporari dan melihat reaksi kepada sudut perspektif pandangan Caravaggio terhadap isu dan era yang berlaku pada saat ini.

Beliau membangkitkan sentimen berunsur sinis kepada keseluruhan plot yang dikenali sebagai The Calling of Saint Matthew.

“Ini adalah sebuah hasil karya yang menerokai segenap ruang di dalam arena seni kontemporari Malaysia,” katanya.

Genre figuratif

Beliau memberitahu bahawa persembahan kali ini, hasil karyanya berfokus pada isu terkini yang berlaku di negara kita, sama ada satu perkara yang baik atau tidak.

“Contohnya, sekarang ni kita dalam bulan Ramadan, saya ada satu karya yang bertajuk Never Learn. Kita sering diingatkan agar jangan bermain mercun, tetapi masyarakat degil dan banyak perkara yang terjadi akibat daripada mercun tetapi masyarakat seolah-olah tidak belajar dan serik,” katanya.

Karya yang dihasilkan Ali Nurazmal juga lebih bersifat neutral dan sesiapa yang melihatnya sudah dapat memahami apa yang cuba hendak disampaikannya. Selain itu, bagi persembahan kali ini, beliau memperjuangkan genre figuratif dalam setiap karya yang dihasilkan.

“Sudah empat tahun, saya fokus pada figuratif, saya cuba mengolahnya dengan melukis kemungkinan baru melalui daya imaginasi,” katanya yang menggunakan sepenuhnya cat minyak.

Beliau berkata, daya imaginasinya itu mampu menghasilkan karakter yang diadaptasi berdasarkan watak yang berada di sekelilingnya.

“Saya juga mengetengahkan charcoal on paper iaitu lukisan yang dihasilkan daripada arang. Jadi, ia akan jadi hitam putih,” katanya.

Secara keseluruhan, bentuk persembahan Ali Nurazmal berbentuk hiburan. “Saya meletakkan diri saya sebagai penghibur dalam semua hasil karya seni,” katanya sambil memberitahu bahawa dia juga sedang dalam persediaan untuk mengadakan pameran seni di Singapura dan Perancis menjelang tahun depan.


Comments are closed.