Dominasi Kontemporari Pilihan -Core Design Gallery

Info Galeri

Nama Galeri : Core Design Gallery Sdn Bhd
Keluasan : 2800 kaki persegi
Waktu Operasi : Isnin hingga Ahad (10.00 pagi – 7 petang (berdasarkan temujanji)
Website : www.coredesigngallery.com
Lokasi : 87, Jalan SS15/2A Subang Jaya 47500 Selangor

Memulakan operasi pada tahun 2009, Core Design Gallery merupakan hasil usaha pasangan suami isteri berkerjaya iaitu Scarlette Lee yang dahulunya seorang ahli farmasi, manakala suaminya Chun Hooi Tan seorang arkitek dan juga pereka hiasan dalaman. Berkeluasan 2,800 kaki persegi siapa sangka galeri ini asalnya adalah kediaman yang mereka diami kira-kira tiga tahun lalu. Biarpun ia kini dijadikan kediaman persinggahan, namun peri pentingnya kepada mereka seolah-olah medan perjuangan yang todak berbelah bagi dan tiada nilai taranya.

“kami berbincang dan membuat perancangan, akhirnya satu kata putus diambil. Langkah menimplementasikan sebuah kediaman yang ingin ditransformasikan menjadi sebuah galeri akhirnya dilaksanakan. Mengambil masa lebih kurang 6 bulan, kemudian terciptalah Core Design Gallery Sdn Bhd ini. Bukan sahaja membiarkan dominasi moden kontemporari pada penataanya, malah pilihan hasil seni yang dipaparkan juga kekal selari”, ujar Chun Hooi Tan.

SENI LUAHAN HATI

Menjejakkan kaki di Core Design Gallery ini, pastinya rata-rata pengunjung akan terpegun dengan olhan konsep yang diaplikasikan. Ringkas, namun tetap dalam identitinya tersendiri. Bukan itu sahaja, keterujaan tatkala menghayati karya juga pastinya terkena impak yang luar biasa. Apa tidaknya, pengalaman pemilik berkecimpung dalam bidang hiasan dalaman lebih kurang 10 tahun sebelum ini sedikit sebanyak membantu terutamanya untuk menata galeri yang berketrampilan.

Menurut pemilik, kebanyakan hasil seni yang dipamerkan disini adalah daripada pelukis dan pereka tempatan. bukan tidak berminat dengan hasil seni dari luar negara, namun hasrat dan minat mereka untuk mengangkat martabat seni tanah air sebenarnya lebih menebal dalam diri masing-masing.

Mengetengahkan kriteria seni yang terampil, pemilik percaya setiap hasil seni baik yang dipamerkan di galeri ini mahupun di kebanyakan galeri lain pastinya wujud elemen tertentu yang mempunyai nilainya tersendiri.

Serlah Kejituan Kontemporari

Perjalanan penulis yang ditemani juru foto pada pagi itu tidak mengambil masa terlalu lama untuk sampai memandangkan destinasi yang dituju mudah untuk dijumpai. Hanya terletak bertentangan dengan Empire Shopping Mall, Subang. Kediaman jenis teres yang di jadikan galeri ini mudah dikenali. Simbolik dengan peranannya sebagai sebuah galeri seni, penataan luaran diolah lain daripada yang lain berbanding kediaman biasa di kawasan sekitar. Susunan blok-blok batu bata berlubang misalnya antara idea yang tidak kurangnya hebat dalam memacu tarikan pengunjung. Jelas terpapar abjad sederhana besar yang padanya tertulis ‘Core’ menjelaskan personaliti kediaman.

Bukan itu semata, pemilik juga menceriakan runag eksterior dengan hiasan laman yang hijau, spesies tubuhan renek seperti rumput, dan banyak lagi sedikit sebnayak membantu dalam menaikkan seri lama Core Design Gallery ini.

Susunan batu batu pada laluan pejalan kaki, menuju ke pintu masuk utama galeri ini sedikit sebanyak memperlihatkan ketelitian pemiliknya yang mengambil kira penilaian dan persepsi positif setiap pengunjung tatkala pertama kali bertandang.

Medan Perjuangan Seni Tempatan

Daripada bukaan pintu utama, apa yang dapat diperhatikan setiap ruang pastinya memainkan peranannya masing-masing terutama dalam memaparkan karya-karya terpilih. Dinding sebelah kiri misalnya, digantung sebuah lukisan bersaiz besar hasil karya Aely Ahmad Manaf berjudul Expression Ink on canvas bernilai RM 3,500.00 dan juga Complacency hasil karya Liu Cheng Hua bernilai RM 5,000.00.

Mungkin sukar bagi sesetengah orang untuk menilai dan memahami maksud yang disebalik palitan rona begini, ada antara mereka yang menghabiskan masa untuk cuba memahami dan tidak kurang pula ada yang menterjemah dalam masa yang singkat. Heban bukan, biarpun begitu seni ditakrifkan berada dalam sudut pandang objektif memandangkan sifatnya membawa makna tersirat dan tersendiri. Gerbang utama pada galeri ini sengaja dibiarkan dengan struktur kediaman lama tanpa diubahsuai memandangkan ia sesuai dengan karakter yang ingin diolah. Perletakan patung persis manusia pada ruang ini misalnya untuk tatapan pengunjung bagi mengalukan kehadiran mereka.

Pelan lain berbeza, seakan satu anak tangga terletaknya ruang bersaiz sederhana dengan perletakan meja dan beberapa buah kerusi. Menurut pemilik, ruang inilah dijadikan tempat berurusan dengan juga perbincangan dengan lebih khususnya.

“Kami ingin pengunjung mahupun pembeli berasa selesa tatkala berada disini, ruang yang ada sememangnya tidak dibiarkan berserabut dengan segala kelengkapan yang tidak meberikan apa-apa fungsi “,Jelas Scarlette.Ruang dapur juga tidak terlepas daripada dihias, diletak dan digantung setiap hasil seni yang bersesuaian. Sebagai contoh perhatikan sahaja empat karya seni hasil rekaan Deyana Deraman, iaitu Full Moon And a Little Girl, Doll in Story, Little Traveler, dan juga Princess Leia. Ruang tampil lebih ceria dan berseni. “Kami akan menukar hasil karya setiap dua bulan sekali, ia bagi memastikan pilihan yang lebih banyak terutamanya untuk pembeli dan pencinta seni”, Jelas Chun Hooi Tan.

Memandangkan kedua-dua tingkat berfungsi sebagai galeri, penulis tidak melepaskan peluang untuk ke aras atas. Menaiki beberapa anak tangga yang ada, penataan aras ini sememangnya tidak menghampakan, dapat dilihat segala rekaan disusun atur sebaiknya kiri mahupun kanan segala tampak terjaga. Santai dan tetap bergaya, itulah perkataan yang sesuai dinyatakan tatkala melihat segenap penataan aras atas ini. Lebih menarik, kreativiti pemilik dalam memberikan kelainan tampak tersusun. Binaan jambatan kecil yang menghubungkan dua buah ruang yang dijadikan pejabat yang pada asalnya bilik tidur utama ini mencuri perhatian kami. Ruang yang telah diubahsuai ini sebenarnya ada ceritanya yang tersendiri.

“Pada asalnya ruang tengah ini ingin dipecahkan, tetapi sewaktu proses memecahkan lantai dijalankan, kerangka besi yang masih ada terlihat menarik, pada waktu iyu kami membuat keputusan untuk mengekalkan sahaja selain menambahkan beberapa aksesori hiasan untuk penambahbaikan penataan interiornya”, ujar Chun Hooi Tan.

Galeri diterbitkan dalam majalah Impiana (Isu Ogos 2012)
Ditulis oleh : Ira Syahrini Mohammed Pauzi


Comments are closed.