Zaman Batu Kontemporari – Berita Harian

Sentuhan lima artis muda ‘kejutkan’ dunia seni lukis tanah air

Interpretasi Zaman Batu Kontemporari sentuhan lima artis muda yang sedang mencipta nama dalam industri seni lukis tanah air nyata tidak mengecewakan kerana karya mereka sentanding pelukis mapan negara. Azli Wahid, Haafiz Shahimi, Jamil Zakaria, Ashriq Suddin dan Ali Bebit yang diberi peluang menjayakan pameran terbaru anjuran Core Design Gallery, Subang Jaya, secara tidak lansung memberi angin perubahan kepada landskap industri seni lukis semasa.

Pameran yang berlansung sehingga 31 Januari itu membongkar keberanian kelima-lima pelukis menerokai teknik dan gaya lukisan berbeza seperti arca menggunakan bahan buangan sertaa dawai keluli, teknik cetakan haba atau pyrography.

Suka buat percubaan

Pelukis yang juga aktif sebagai penari, Haafiz Shahimi, 27, memberi kelainan menerusi dua karyanya, Kembali Bernafas dan Menggapai Nafas, menampilkan gambar wanita seakan-akan sedang berenang di dasar lautan. “Saya adalah pelukis yang suka melakukan pelbagai percubaan bahan dan memilih untuk menggunakan teknik cetakan haba bagi kedua-dua karya saya pada pameran ini. Objek ikan dalam lukisan saya menggunakan besi, sebelum dicetak menggunakan teknik cetakan haba,” katanya yang turut memberi sentuhan fizik dalam karyanya itu.

Pelukis yang gemar menggunakan warna hitam dan putih, Ashriq Suddin tampil dengan Transformasi Serakah 1 dan 2 menggunakan aluminium pembalut makanan sebagai kanvas untuk karyanya. “Transformasi Serakah adalah karya yang sarat dengan mesej alam sekitar kepada manusia yang terlalu mengejar kemodenan sehingga tidak menyedari bahawa mereka adalah penyebab kepada kemusnahan dan bencana alam yang terus berlaku.

“Mungkin ramai yang sukar mempercayai bahawa saya menggunakan pembalut makanan aluminium sebagai kanvas. Saya mengeraskannya terlebih dahulu sebelum sengan cat resin,” katanya yang kini pelukis sepenuh masa.

Kemusnahan bumi

Karya gergasi pada pameran itu milik Azli Wahid yang mengambarkan kemusnahan bumi hari ini menerusi objek berbentuk sfera, mewakili bumi gersang , kotor dan terbai dengan kemusnahan di sana-sini. “Karya dengan ukuran diameter lebih tujuh kaki, Drawing X: Gerhana Duka Sangkakala ini dihasilkan menggunakan pelbagai bahan asas dan buangan yang saya kumpul dan ia mengambil masa hampir enam bulan untuk siap sepenuhnya.

“Saya mengharapkan orang ramai yang melihat karya ini sedar akan mesej yang cuba disampaikan dan mula menjaga kebersihan, persekitaran dan keindahan bumi daripada terus musnah,” katanya adalah kesinambungan daripada koleksi terdahulu, Kasut Batu dan Siri Drawing Fossil.

Satu-satunya artis yang menghasilkan arca menggunakan dawai keluli di Malaysia, Jamil Zakaria, turut memberi kelainan dan memaksa pengunjung berfikir panjang mengenai makna disebalik karyanya, Rinti-rintik Sehujan Batu. “Arca ini diilhamkan daripada peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri, memaparkan perasaan senang berada di kampung halaman atau negara sendiri.

“Saya menggunakan dawai keluli sebagai garisan untuk mewujudkan rupa dan bentuk. Garis secara intelektualnya adalah perkara paling asas dalam seni visual dan ia juga menterjemahkan hubungan, perpaduan dan perjalanan,” katanya yang pernah dijemput mewakili Malaysia pada Pameran Seni Antarabangsa di New Delhi, India tahun lalu.

Pelukis kelahiran Johor, Ali Bebit pula menonjol dengan karyanya, A.W.A.S atau anti Perang yang bercerita mengenai kebebasan dan disampaikan secara simbolik menggunakan imej burung yang dihasilkan menggunakan gabungan bahan buangan besi.


Comments are closed.