Ikon jawi dalam lukisan

Penulis teruja apabila melihat lukisannya yang ketika itu masih belum disiapkan.

Permainan warna dan penggunaan huruf jawi tunggal seperti alif, tho, syin dan ghain memberi makna tersendiri.
Husin Hourmain seorang artis kontemporari Malaysia ketika ditemu ramah di rumahnya lebih bersikap santai dan terbuka dalam menceritakan pengalamannya daripada pelukis ekspresionis abstrak dan kini memberi fokus sepenuhnya pada seni kaligrafi.

Solo pertamanya berjudul ‘Energy’ diadakan sewaktu baru berkecimpung di dalam bidang lukisan.

“Ketika itu saya masih berkhidmat di bahagian pengiklanan dan sesetengahnya darinya dilukis antara 1995 ke 1996.

“Kerja seni saya di dalam Energy berkaitan abstrak, selain banyak menggunakan kekuatan warna dan diilhamkan daripada sesuatu yang menceritakan mengenai kuasa negatif dan positif.

“Permulaan itu diilhamkan dengan nama tempat seperti Kilimanjaro di Afrika dan Phat Phong di Thailand. Ia menceritakan tentang seni positif dan negatif yang digerakkan manusia itu sendiri,” katanya.

‘Zero to Something, Zero to Nothing’ merupakan solo keduanya yang menceritakan tentang kewujudan dan kematian manusia.

“Ia secara halusnya berkaitan terhadap hubungan kita secara rohaniah dan secara fizikal terhadap manusia.

“Bila kita tiada, apa kebaikan kita terhadap alam sekeliling, anak dan rakan. Secara rohaniah pula, apa bekalan kita kepada Yang Satu sebelum kita pergi.

“Namun, siri ke dua ini lebih kepada sesuatu berbentuk rohaniah. Cara penyampaian yang berbentuk lukisan ini sebenarnya sama seperti menulis. Kita menyampaikan isi hati ke dalam novel atau cerpen begitu juga saya melakukannya menerusi lukisan,” ujarnya.

Pameran ketiganya ‘Awal Hurouf, Asal Hurouf’ yang baru selesai pada Mac lalu, dia ingin menyampaikan elemen yang berkaitan dengan ikon serta menggambarkan imej.

Selama beberapa bulan pencariannya pada 2008, sekiranya dia ingin pergi lebih jauh ke arah seni yang menggambarkan rohaniah, ujarnya, dia harus kembali ke permulaan.

“Ilmu itu apa? Dari mana datangnya ayat yang menjadikan sesuatu perkataan itu indah dan membentuk sebuah ayat?

“Justeru, saya kembali kepada penulisan jawi yang mencerminkan penulisan orang Melayu yang semakin dilupakan.

“Dengan 37 tulisan jawi ini, saya berharap dapat memartabatkan kembali ikon jawi dalam lukisan kaligrafi ini.

“Hasilnya, saya lahirkan ikon jawi pada setiap lukisan seperti ba, lam, zho dan cha dengan penggunaan warna yang pelbagai, tetapi tidak membentuk perkataan,”
katanya.

Dia secara tegas belum bersedia untuk menonjolkan diri secara serius sebagai pelukis kaligrafi Islam Malaysia yang melukis ayat al-Quran kerana baginya ilmu yang dimilikinya belum cukup untuk mengiktiraf dirinya sekali gus menonjolkan dirinya sebagai pelukis khatat.

Kembali pada latar belakang kerjayanya, dia sanggup meninggalkan kerjanya yang sudah pun stabil selama 18 tahun di dalam pengiklanan.

Dengan mempertaruhkan hidupnya sebagai seorang pelukis, Husin bergerak sepenuh masa yang disokong keluarga, isteri dan anak.

Hasil lukisannya turut dijadikan koleksi di Galeri Seni Negara, selain dikumpulkan oleh ahli korporat dalam negara serta pengumpul persendirian.

Layari laman www.coredesigngallery.com untuk melihat hasil karyanya.


Comments are closed.