Bersilat sambil melukis -Harian Metro Paper

Haafiz lakar guna haba atau api untuk dapatkan hasil yang berbeza

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Minat anak muda ini agak berlainan. Meskipun masih muda dan baru menceburi bidang seni lukis kontemporari, ilham anak muda ini memang hebat.

Mohd Haafiz Shahimi yang berasal dari Kedah ialah graduan seni percetakan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bakat yang dicungkil sejak berumur lima tahun mendapat sokongan keluarga yang memberi galakan berkarya sehingga dia memasuki pusat pengajian tinggi.

Tidak hairanlah, pelbagai pengalaman dikutip sewaktu di bangku sekolah dengan memasuki pertandingan melukis dan kerap dibawa ke pelbagai pameran bagi meluas dan menajamkan minda.

Haafiz, 27, sebagai artis seni kontemporari Malaysia mempunyai bakat seni lukis semula jadi tidak tertumpu kepada penggunaan pensil semata-mata, tetapi turut menggarapkan pelbagai bahan campuran lain.

Namun, minatnya lebih mendalam dalam seni percetakan menerusi cetakan pyrography iaitu melakar menggunakan haba atau api.

“Saya mahukan sesuatu yang berbeza dalam menghasilkan seni visual, malah melakukan pelbagai eksperimen sepanjang di UiTM.

“Jika kaedah konvensional menggunakan cat air, cat minyak dan akrilik, saya mencuba haba sebagai medium utama dalam menghasilkan imej.

“Permukaan utamanya adalah polyvinyl chloride (PVC) yang diletakkan di atas kanvas. Manakala plat besi dan blok direka mengikut tema yang ingin dilukis.

“Dengan suhu panas yang sesuai, plat yang dicetak ke atas permukaan PVC akan menghasilkan imej terbakar,” katanya.

Sebelum melakukan proses terbabit, Haafiz memperindahkan lukisannya menerusi teknik stensil yang menggunakan semburan cat atau akrilik bagi menghubung kaitkan imej cetakan besi dengan latar belakang PVC.

Justeru, terhasillah karyanya berjudul Menggapai Nafas dan Kembali Bernafas yang dipamerkan di Galeri Core Design di Subang Jaya.

Haafiz juga terkenal di dalam seni persembahan dan sering dijemput untuk mengadakan persembahan pembukaan, gimik dan persembahan untuk memperkenalkan karya terbaru yang memerlukannya bersilat sambil melukis.

Ujarnya, dia menggabungkan pendekatan Barat dari segi seni visual seperti melukis dan membuat arca dengan seni tradisional Melayu iaitu silat.

“Selain memartabatkan persilatan Melayu, saya ingin berkongsi dengan penonton dan membolehkan mereka menikmati setiap karya yang dihasilkan.

“Situasi, suasana dan masa yang paling menyeronokkan buat seorang artis adalah sepanjang proses melukis dilakukan dan bukanlah sewaktu karyanya digantung, dijual atau dipamer.

“Justeru, persembahan bersilat sambil melukis bukan saja menarik penonton kepada ideologi baru seni, tetapi turut membolehkan penonton berkongsi tekstur, bau, masa, klimak dan plot sebuah lukisan itu dihasilkan,” katanya.

Sehingga kini seni persembahannya sudah diadakan di merata tempat seperti di Solaris Dutamas, Balai Seni Visual Negara dan Galeri Shah Alam.

Layari laman www.coredesigngallery.com untuk melihat hasil karya Haafiz.


Comments are closed.