Karya Merentas Masa

Kosmo Writer : SUHANA VERU
suhana.veru@kosmo.com.my
Photo by : RASHID MAHFOF

LAZIMNYA, pelukis-pelukis tempatan lebih gemar mempamerkan hasil seni mereka yang baharu, namun lain pula bagi pelukis ternama, Husin Hourmain, 50.

Dalam pameran yang mengangkat tema Trail to the Past, kreativiti Husin sepanjang kariernya diketengahkan semula untuk tafsiran khalayak pencinta seni semasa.

Melalui karyanya, Husin menghidangkan permainan olahan warna bersifat sejuk yang digarap dengan pelbagai teknik.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan karya beliau yang membawa signatur dan naratif yang berbeza seiring peredaran zaman.

Hakikatnya, karya-karya di situ menunjukkan kematangan beliau sejak berkecimpung dalam bidang itu.

Kesemua koleksi karya indah beliau itu dipamerkan di Galeri Core Design yang terletak di Subang Jaya sepanjang bulan Jun ini.

Kebanyakan karya yang dipaparkan di galeri itu pernah dipamerkan menerusi pameran solo yang kedua bertajuk Zero to Something, Zero to Nothing.

Karya tersebut merupakan ilham daripada hasil karya-karya pelukis terkenal Amerika Syarikat, Jackson Pollock yang melakukan teknik ‘lukisan titisan’. Lukisan berkenaan pernah popular selepas tahun 1940.

“Ia mengisahkan tentang interaksi rohani seseorang dengan kehidupan itu sendiri,” jelas Husin.

Dalam pameran itu, turut dipamerkan karya terbaharu beliau iaitu Awal Hurouf Asal Hurouf yang memaparkan tulisan jawi sebagai subjek utama.

Menurut Husin, beliau memilih tulisan jawi kerana mahu menghidupkan kembali tulisan tersebut yang semakin dilupakan.

“Penggunaan tulisan jawi mempunyai kaitan dengan sejarah Islam. Maka karya-karya ini secara terang-terangan mengajak umat Islam untuk menuntut ilmu pengetahuan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pameran hasil karya lama dan baharu, beliau berkata, ia bertujuan untuk berkongsi dan memberi input kepada orang ramai terutamanya dalam kalangan penggemar seni, pelajar dan pengumpul yang baru berjinak-jinak dalam bidang seni itu.

“Pengunjung dapat menilai perbezaan elemen-elemen asas seperti warna, bentuk, garisan, tekstur dan ruang. Terdapat banyak perbezaan antara karya dahulu dan sekarang,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyaksikan 11 karya Husin yang dipamerkan di Galeri Core Design sehingga 29 Jun ini.

Exhibition : Trail to the Past – Husin Hourmain
Venue : Core Design Gallery, No 87, Jalan SS15/2A, 47500 Subang Jaya, Selangor
Exhibit until : 29th June 2013
Contact Person : Syikin (03-56121168) / email : syikin@coredesigngallery.com
Business Hour : Mon – Fri (10am – 7pm)
Sat & Sun (10am – 6pm) – Based on Appointment


Comments are closed.