Awal Huruf Husin Hourmain – Dewan Ekonomi Magazine

Dewan Bahasa & Pustaka Writer : Adnan Abd Jamil
Photo by : Core Design Gallery

Awal Hurouf Husin Hourmain

SAYA ingin mencari kepuasan dalam berkarya dan saya berasa puas apabila ada insan lain yang berminat dengan karya tersebut dan menjadikan karya tersebut miliknya ,” kata Husin Hourmin, artis seni kontemporari Malaysia dan pelukis abstrak ekspresionisme yang kini memberikan fokus sepenuhnya terhadap seni kaligrafi.

Segala-galanya bermula pada tahun 2003, apabila Husin Hourmin mengambil keputusan untuk berhenti “makan gaji” dan menumpukan sepenuh masanya terhadap bidang seni lukis. Tempoh 18 tahun bekerja dalam bidang pengiklanan dirasakan sudah cukup menjadi bekalan untuknya bergerak sendirian dalam bidang seni visual.
Husin Hourmain, anak kelahiran Kuala Kangsar, memang suka melukis sejak kecil. Apabila usia meningkat
remaja, dia gemar melawat galeri seni dan membeli lukisan yang diminati. Kemudian, Husin mendalami seni
grafik hingga memperoleh Diploma Seni Reka Grafik daripada Malaysian Institute of Art, Kuala Lumpur.

Selepas itu, dia mendalami seni fotografi hingga mendapat Sijil Fotografi daripada Institut Kemahiran Belia Negara, Pertak, Selangor. Husin memulakan kerjaya sebagai pereka grafik pada tahun 1985,seterusnya bekerja sebagai pengurus seni di beberapa buah syarikat ternama. Pameran solo pertama kar ya Husin berjudul “Energy” (2004) diadakan di Galleriiizu, Kuala Lumpur. Karya dalam pameran tersebut dihasilkan pada tahun 1995 hingga tahun 1996. Karya yang dipamerkan pada pameran solo itu beraliran abstrak dan banyak menggunakan elemen warna serta diilhamkan daripada sesuatu yang berkaitan dengan kuasa negatif dan positif.

Pameran solo Husin yang kedua, “Zero to Something, Zero to Nothing”, menceritakan perihal kewujudan dan kematian manusia. Pameran ini diadakan di PACE Gallery, Selangor,pada tahun 2008.“Karya dalam siri ini lebih berbentuk rohaniah. Cara penyampaiannyasama seperti menulis.Pengarang menyampaikan isi hati melalui penulisan novel atau cerpen, manakala saya melakukannya menerusi lukisan,” ujarnya.Selepas pameran solo yang kedua,Husin mula menggambarkan sesuatu yang dapat dijadikan imej atau ikon agama dan bangsa dalam karya. Idea yang sudah lama tersimpan dalam jiwa – huruf Jawi alif hingga ya –divisualkan dalam karyanya.

“Pada pertengahan tahun 2008, saya membuat kajian tentang abjad Jawi dari sudut visual dan komposisi.Saya mengkaji cara yang sesuai untuk menjadikan Jawi sebagai imej atau subjek utama dalam hasil karya lukisan saya.” Pada tahun 2009 , Husin memulakan lakaran abjad Jawi. Antara kesukaran yang dilalui sepanjang
menghasilkan lukisan itu termasuklah untuk memastikan setiap abjad mempunyai watak dan karakter yang tersendiri.

“Karya bagi setiap huruf hampir sama, iaitu melukis lapisan demi lapisan dan huruf yang bertindih antara satu sama lain, tetapi setiap lukisan mengandungi mesej yang tersendiri. Saya juga perlu memberikan
perhatian dari aspek pengawalan berus supaya mendapat strok yang betul,” tambahnya lagi. Hasilnya , Husin berjaya melahirkan ikon Jawi pada setiap lukisan dengan penggunaan pelbagai warna, tetapi setiap huruf itu tidak membentuk perkataan. Beliau mengambil masa selama tiga tahun (2009 – 2011) untuk menyiapkan 30 buah karya dalam siri abjad Jawi alif hingga ya. Pada Mac 2013, Husin mempamerkan karya abjad Jawi tersebut dalam pameran solo yang ketiga yang diberi judul “Awal Hurouf, Asal Hurouf” di Core Design Gallery @ Publika, Kuala Lumpur.

Menurut Husin, “awal huruf” ialah waktu untuk manusia mencari ilmu dan mengenali Penciptanya melalui ilmu tersebut, iaitu pada huruf yang tertulis dan tersirat dalam al-Quran dan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia. Sementara itu, “asal huruf” ialah hak Yang Maha Esa. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.
Setiap abjad, alif hingga ya merupakan permulaan untuk manusia mencari ilmu. Setelah mengenal abjad,
baharulah manusia membentuk dan membunyikan perkataan. Daripada perkataan itu pula, terbentuklah ayat. “Yang cuba saya lakukan ini adalah untuk membawa pengaruh Islam yang biasa dengan saya, bersamasama
teknik Barat yang saya fahami.Pendekatan estetik saya berasaskan gaya abstrak ekspresionisme Amerika,
seperti gaya Jackson Pollock.” Karya kaligrafi Husin itu hanya satu titik permulaan baginya memperkenalkan dan menghidupkan semangat Melayu/Jawi dalam dunia seni lukis kontemporari Malaysia.

Banyak lagi k ajian yang perlu dilakukan untuk mengenali dan memahami Jawi dan kaitannya dengan bangsa Melayu. Karya kaligrafi Islam kontemporari pertama yang berjumlah 30 buah itu mendapat perhatian khalayak seni serta pencinta kaligrafi dan kini, semuanya habis dijual. Karya yang dihasilkan berjaya meletakkan nama Husin dalam senarai pengkarya kaligrafi di Malaysia. Walau bagaimanapun, Husin belum bersedia untuk menonjolkan diri sebagai pelukis kaligrafi Islam Malaysia. Baginya, ilmu yang dimiliki belum cukup
untuk mengiktiraf dirinya, sekali gus menonjolkan dirinya sebagai pelukis khat.

“Saya menghargai jika mesej yang cuba saya sampaikan melalui karya saya dapat dinilai oleh orang ramai.
Hal ini mencerminkan warisan budaya saya, sesuatu yang berkaitan dengan kepercayaan saya sebagai orang Islam.” “Saya percaya seni kaligrafi adalah antara cara bagi menggalakkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan budaya untuk memahami Islam secara tidak langsung dan lebih mudah.”

Beliau berkata, seni lukisan tidak boleh dipandang mudah kerana berupaya menjadi antara sumber sejarah yang penting,apatah lagi tulisan Jawi semakin dilupakan oleh masyarakat kerana kurang pendedahan mengenainya. Oleh sebab itulah kebanyakan generasi sekarang bukan sahaja tidak memahami dan tidak dapat membaca tulisan Jawi, malah ada yang tidak kenal huruf Jawi. “Saya belajar mengenai diri saya, kekuatan, dan had saya setiap kali melukis serta berfikir tentang seni. Seni merupakan pengembaraan yang unik ke dalam ruang yang tidak diketahui dan hanya dapat diteroka oleh mereka yang bersedia untuk
mengambil peluang.”

Husin berharap supaya lebih banyak pengumpul seni persendirian dan korporat dapat dilahirkan pada masa akan datang. Dia juga berharap supaya pihak tertentu dapat melihat seni kontemporari Malaysia sebagai
produk “buatan Malaysia” yang dapat dibangunkan sebagai industri untuk pasaran antarabangsa.“Bagi saya, melukis ialah satu daripada asas yang penting dalam proses menuntut ilmu, iaitu ‘membaca, menulis, mengira dan melukis’ dan 4M ini merupakan formula yang penting untuk menuntut ilmu pengetahuan.” Husin Hourmin antara penggiat seni yang berjaya menghasilkan dan memasarkan karyanya kepada khalayak. Hasil yang diperoleh sepanjang pengabdiannya sebagai usahawan seni ternyata sangat berbaloi dengan usaha sepenuh masa yang dilakukannya. Di O-takStudio miliknya,Husin terus berkarya.


Comments are closed.