Pameran GMCA: Kualiti sebenar pelukis

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Buat julung kalinya, Core Design Gallery menggalas tanggungjawab besar dengan membawa bersama beberapa artis kontemporari Malaysia yang terpilih.

Ia bakal menampilkan karya yang mempunyai nilai dan tahap kualiti muzium melalui pameran Preview Great Malaysia Contemporary Art (GMCA).
GMCA terdiri daripada artis top kontemporari dengan hasil kerja seni yang kritikal dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran seni.

Menurut Pengarah Seni Core Design Gallery, Scarlette Lee, GMCA akan mempamerkan kualiti sebenar pelukis untuk mengubah hampir berbulan lamanya daya usaha yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

“Semua artis terbabit dipilih secara khusus dalam genre seni tertentu daripada lukisan, arca sehingga karya instalasi.

“Barisan nama besar artis seperti Ahmad Fuad Osman, Anuar Rashid, Eng Hwee Chu, Fadhli Yusoff, Hamir Soib, Haslin Ismail, Husin Hourmain, Mohd Noor Mahmud, Mutalib Musa, Shooshie Sulaiman, Tan Chin Kuan dan Zulkifli Yusoff,” katanya.

Abdul Multhalib Musa, 37, merupakan antara artis dalam bidang seni arca yang menerima pelbagai anugerah antarabangsa.

Pada 2001, Multhalib dipilih menyertai Rimbun Dahan Residensi Malaysia dan tahun berikutnya dia menerima Anugerah Kecemerlangan pada Pertandingan Terbuka Arca Asia Oita ke-6 di Jepun.

Selain diiktiraf sebagai Suruhanjaya Tinggi Australia Residensi (2004), dia ditugaskan untuk membina sebuah arca luar untuk Sukan Olimpik Beijing di China (2008) manakala pada 2009, hasil kerjanya terpilih untuk Festival Seni Asia Ordos ke-11 serta Simposium Bandar Arca Antarabangsa Urumqi di Xinjiang, China.

Hamir Soib, 44, menggunakan imaginasinya dengan melukis seekor ikan koi besar yang memenuhi sebuah lukisan di mana latar belakangnya dilukis secara lapisan demi lapisan.

Lapisan bagi Hamir bukan saja penting dari segi teknikal tetapi juga falsafah yang diperkukuhkan dengan konsep menerusi karya The Auctionland.

Husin Hourmain, terkenal di dalam seni kaligrafi Islam.

Nota dan Yasin Untukmu mencerminkan lima rukun agama Islam.

Ia dipersembahkan dengan gaya kaligrafi terperinci untuk memberi penghormatan peribadi kepada allahyarham bapanya dan bercakap selaku artis mengenai tiga peringkat: seorang anak, anak Melayu dan Muslim.

Ujarnya, segala perkara mempunyai hati dan hati al-Quran ialah surah Yasin.

Selepas solo pertamanya menerusi ‘Awal Huruf, Asal Huruf’, Husin meneruskan kecintaan dengan mengambil perkataan Arab seperti Ya dan Sin dan membentuk Yasin dalam huruf tebal serta bersaiz besar yang dilukis di atas kanvas biru kuning.

Pada masa yang sama, GMCA bakal membawa artis terbabit ke Art Expo Malaysia 2013 dari 19 September hingga 22 September di Pusat Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur.

INFO

Pameran Preview Great Malaysia Contemporary Art Show
Lokasi: Core Design Gallery, No 87, Jalan SS15/2A 57500 Subang Jaya, Selangor
Tarikh: Kini hingga 9 September 2013
Masa: 10 pagi – 7.30 petang (sila hubung sebelum datang)
Jumlah karya: 16
Jumlah artis: 13
Telefon: 03 – 56121168 (Syikin)
Web: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com


Comments are closed.