Kehebatan Seni arca Multhalib

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

Kaedah pembuatan arca logamnya agak unik kerana menonjolkan satu ekspresi pergerakan dan alunan gelombang yang abstrak dan tidak berupa apa jua objek.

MASIH tidak ramai yang sanggup memperjudikan masa hadapan mereka demi mengejar minat yang mendalam terhadap bidang seni kontemporari.

Namun itu laluan yang dipilih oleh Abdul Multhalib Musa yang memiliki Ijazah Sarjana Senibina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila menceburi bidang seni arca logam sejak 13 tahun lalu.

Nama beliau bukan asing lagi dalam dunia seni kontemporari bahkan sudah berjaya menempa nama di luar negara dengan mengadakan beberapa siri persembahan.

Malah jalan yang dipilih Multhalib jelas membawa tuah kepada dirinya apabila karya-karya arca logam yang dihasilkan banyak menghiasi bangunan di Malaysia dan luar negara.

Katanya, permintaan terhadap karya arca logam semakin mendapat tempat terutama yang bersaiz besar untuk dijadikan hiasan dan tarikan di kawasan yang lapang baik di dalam mahupun di luar bangunan.

Jelasnya, tidak ramai pengarca di Malaysia mempunyai kemahiran sepertinya dan berharap cabang seni itu diminati oleh penggiat seni muda pada masa akan datang kerana menjamin pulangan mewah.

““Syukur rezeki saya semakin bertambah kerana sering mendapat tempahan daripada pihak korporat untuk menghasilkan rekaan arca bagi bangunan baru yang siap dibina,” ujarnya.

Bagi bangunan di Malaysia, karya Multhalib boleh dilihat menghiasi bangunan Bank Negara, Centrepoint Tower, Midvalley City, Hotel Grand Hyatt, Hotel Hilton KL Sentral, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Konvensyen Putrajaya.

Antara bangunan di luar negara yang turut menempatkan sentuhan karya Multhalib adalah Beijing Olympic Park City dan Guilin Yuzi Paradise, Guilin, China; Fumio Asakura Memorial Park, Oita, Nakamura Jishiro Memorial Fund, Fukuoka, Jepun dan Singapore Art Museum, Singapura.

Suatu ekspresi

Menurut Multhalib, kaedah pembuatan arca logamnya agak unik kerana menonjolkan satu ekspresi pergerakan dan alunan gelombang yang abstrak dan tidak berupa apa jua objek.

Jika dahulu banyak arca yang dihasilkan menampakkan kesan karat atau neutral, kini karya yang dihasilkan menggunakan warna seperti Siri Bifurcation bagi menampakkan efek yang berbeza.

Berbicara lanjut tentang hasil kerjanya, kata Muthalib, dua karyanya yang berjudul Bifurcation 1 & 2 merupakan caranya menterjemah kejadian makhluk.

“”Seperti yang kita tahu setiap kejadian bermula daripada satu induk kemudiannya dipecahkan kepada dua zarah atau gel.

“”Kejadian makhluk ciptaan Tuhan adalah satu kajian yang sangat unik dan kita sebagai manusia biasa memang tidak boleh menandingi kekuasaan-Nya “,katanya.

Dua karya daripada siri Bifurcation itu turut terpilih untuk dipamerkan di Art Expo Malaysia 2013 yang bakal berlangsung dari 19 hingga 22 September ini di Menara Matrade, Kuala Lumpur.


Comments are closed.