Pamer Karya Terbaik

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

BERSEMPENA dengan penganjuran Art Expo Malaysia 2013, Galeri Core Design mengadakan projek khas seni kontemporari yang bertajuk ‘Great Malaysia Contemporary Art’ (GMCA).

Projek tersebut diadakan bertujuan mengumpulkan sekumpulan artis terkenal dalam seni kontemporari bagi mempamerkan karya terbaik mereka.

Sebanyak 12 artis yang terlibat ialah Ahmad Fuad Osman, Anuar Rashid, Eng Hwee Chu, Husin Hourmain, Hamir Soib, Mohd Noor Mahmud, Multhalib Musa Mohd Fadli Yusoff, Suhaimi Fadzir, Shooshie Sulaiman, Tan Chin Kuan dan Zulkifli Yusoff.

Art Expo Malaysia 2013 itu yang akan berlangsung di Menara Matrade dari 19 hingga 22 September ini juga melibatkan penyertaan dari luar negara.

Pengarah Galeri Core Design, Scarlette Lee berkata, artis-artis yang dipilih itu merupakan antara yang terbaik dalam pelbagai cabang bidang seni kontemporari.

“Kita mahu persembahkan kepada dunia luar tahap kemampuan artis kita yang mampu menghasilkan sebuah karya di luar imaginasi mereka dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Scarlette menambah, pihaknya berhasrat untuk menjadikan projek tersebut sebagai aktiviti yang berterusan bagi melonjakkan bidang seni kontemporari tempatan ke pentas antarabangsa.

Selain mempamerkan karya seni di atas kanvas, galeri tersebut juga mengetengahkan karya arca dan instalasi serta penggunaan media baru dalam karya seperti neon dan keluli yang mendapat permintaan tinggi masa kini.

Bagi Husin Hourmain menerusi karyanya berjudul, Nota & Yassin Untukmu jelasnya karya tersebut mempunyai nilai dan maksudnya yang tersendiri. Katanya, karya tersebut dinilai daripada tiga bahagian yang berbeza.

Bahagian pertama adalah mengenai kerinduan si anak (dirinya) terhadap arwah bapanya. Menurut Husin, terlalu banyak kenangan bersama arwah bapa ketika dia masih hidup dan melalui karya ini dia meluahkan rasa rindunya itu.

“Untuk bahagian kedua pula orang Melayu memang sinonim dengan surah Yasin yang disedekahkan kepada orang yang sudah meninggal dunia dan inilah mengapa saya memilih tajuk ini sebagai tajuk utama dalam karya saya kali ini.

“Manakala bahagian ketiga adalah mengenai isu semasa yang sedang melanda negara kita ketika ini iaitu dilema orang Melayu, saya ambil sebahagian daripada cop yang terdapat pada pasport lama arwah bapa yang masih tertera Tanah Melayu, bagi saya ketika itu semangat kemelayuan sungguh kuat tidak seperti apa yang berlaku hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, bagi seorang lagi pengkarya, Abdul Muthalib Musa yang lebih cenderung kepada karya berbentuk arca pula berkata melalui dua karyanya yang berjudul Bifurcation 1 dan 2 merupakan caranya untuk menterjemah mengenai kejadian makhluk.

“Seperti yang kita tahu setiap kejadian bermula daripada satu induk kemudiannya dipecahkan kepada dua zarah atau gel. Kejadian makhluk ciptaan tuhan adalah satu kajian yang sangat unik dan kita sebagai manusia biasa memang tidak boleh menandingi kekuasaan-Nya, ” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengkarya terkenal, Suhaimi Fadzir pula cuba untuk memperkenalkan perkara baru dalam karyanya yang berjudul Harimau daripada siri karyanya Orang Asli.

Menurutnya, bagi karya kali ini dia mengenengahkan medium lain berbanding kebiasaan pengkarya tempatan gunakan. Kali ini Suhaimi menggunakan konsep yang dipanggil neon.

“Sebenarnya saya guna kaedah ini sudah lama, namun kali ini baru saya ketengahkan. Saya tidak mahu bidang seni tempatan berada dalam takuk lama. Saya mahu bidang seni kita berada setaraf dengan seni luar negara,” katanya.

Kesemua karya yang akan mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan sedang dipamerkan di Galeri Core Design sehingga 9 September ini.


Comments are closed.