Cetusan Emosi dalam Karya Seni

Penulis : Hafiz Ahmad

Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu memberi ilham kepada Ali Nurazmal menghasilkan sebuah lukisan minyak yang dipamerkan di Galeri Core Design pada 19 hingga 22 September lalu.

BULAN Mac lalu, negara digemparkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas-pengganas dari Kepulauan Sulu, Filipina. Peristiwa berdarah itu telah mengorbankan nyawa 10 orang anggota keselamatan Malaysia sehingga memaksa campur tangan daripada kerajaan Malaysia dan Filipina.

Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ketenteraman masyarakat Kampung Tanduo yang selama ini hidup dalam harmoni dan aman tanpa sebarang kekacauan. Memori itu meninggalkan trauma kepada mereka yang terlibat lantas memaksa kawalan rapi dan terperinci terus dilakukan bagi mengelakkan ia berulang sekali lagi.

Peristiwa itu telah mencetus ilham kepada pelukis kontemporari tempatan, Ali Nurazmal Yusoff bagi menzahirkannya dalam sebuah lukisan minyak yang bertajuk Kanak-kanak Perempuan dan Harimau Dalam Air.

Beliau terbang ke Semporna, Sabah bagi melihat sendiri kehidupan selepas berlakunya pencerobohan tersebut. Ali Nurazmal terkesima dengan keindahan dan keramahan penduduk yang hidup secara sederhana dan tidak terkejar-kejar dengan arus kemajuan seperti yang biasa dilihat di kawasan bandar.

Masyarakat kampung masih menggunakan telefon awam sebagai satu alat komunikasi dan ia menarik perhatian Ali Nurazmal lantas mengabadikannya dalam karya seni itu. Satu lagi subjek lukisan itu ialah seekor harimau yang berada dalam posisi sedia untuk menerkam mangsanya.

“Harimau tersebut sebagai perlambangan kepada kewujudan anasir-anasir luar yang cuba mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Ia menimbulkan persoalan bagaimana kita masih tidak berasa selamat walaupun berada dalam tempat sendiri,” ujarnya ketika ditemui di Expo Seni Malaysia 2013 yang berlangsung di Menara Matrade baru-baru ini.

Ali Nurazmal yang merupakan pelukis di bawah Galeri Core Design, Subang Jaya mempamerkan karya bersama beberapa rakan-rakannya seperti Husin Hourmain, Suhaimi Fadzir dan Mohd. Noor Mahmud.

Nota dan Yasin Untukmu merupakan karya yang menjadi dedikasi sang pengkarya kepada ayahanda tercinta. Husin Hourmain yang terkenal sebagai pelukis kaligrafi kontemporari, menjadikan huruf Ya dan Sin sebagai subjek kepada lukisannya.

“Surah Yasin mempunyai pertalian yang erat dalam budaya kita. Ia merupakan antara surah penting dalam al-Quran dan sering dijadikan pengantara kepada orang yang telah pergi atau dibacakan ketika seseorang dalam keadaan nazak,” ujarnya.

Berukuran 365 x 213 sentimeter, lukisan itu turut menggunakan cop imigresen yang diambil daripada pasport milik arwah bapanya, yang sering ke luar negara atas tuntutan kerja sebagai seorang wartawan. Cop tersebut masih menggunakan nama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960-an.

Menurutnya, penggunaan cop tersebut sebagai perlambangan kepada keadaan beberapa isu semasa yang berlaku pada hari ini. Dia cuba menyentuh isu-isu seperti hak orang Melayu, kontrak sosial dan kuasa kolonial. Beliau cuba menimbulkan persoalan bagaimana populasi Melayu boleh terkesan jika berlakunya pembubaran dalam kontrak tersebut.

Suhaimi Fadzir pula mempamerkan kerja seni daripada siri Merdekanya, Harimau. Beliau cuba membawa persoalan tentang kepentingan maruah kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Harimau menjadi fokus utama dalam karyanya di samping beberapa terapan kecil haiwan tersebut di sekeliling subjek. Pisau cukur dilekat sekitar lukisan bersama patung-patung kecil askar. Lampu neon melingkari lukisan harimau utama yang digunakan sebagai palet warna.

Suhaimi, yang baru membuat pameran di galeri berprestij, Galeri Saatchi, London, England, menggambarkan harimau sebagai satu persamaan kepada masyarakat Orang Asli di Timur Malaysia. Beliau telah melakukan beberapa kajian mengenai kehidupan pribumi itu dan mendapati mereka berasa telah dicerobohi oleh elemen-elemen luar.

Habitat mereka telah terjejas melalui pembangunan, masalah pembalakan dan pemburuan haram. Situasi itu juga memberi kesan kepada haiwan-haiwan hutan seperti harimau sehingga mengganggu kawasan hidupan mereka. Ia mengakibatkan harimau-harimau tersebut menyerang penempatan Orang Asli dan mengancam kehidupan seharian mereka.

Kosmo Paper, 19 October 2013


Comments are closed.