Mimpi jadi lukisan

Daripada mimpi itulah pelukis, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan menterjemah idea-idea itu ke dalam dunia fantasi bersifat spiritual yang diangankan

Oleh Rasdan Ahmad

rasdan_Utusan@yahoo.com

Mimpi merupakan medan pencambahan idea dan imaginasi yang kadangkala menjangkau batas logik akal fikiran. Sesuatu subjek bukan sahaja hadir dalam bentuk di luar kebiasaan malah boleh berubah mengikut acuan seperti yang diinginkan.

Daripada mimpi itulah pelukis, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan menterjemah idea-idea itu ke dalam dunia fantasi bersifat spiritual yang diangankannya. Konsep yang diketengahkan dalam pameran solo pertamanya ialah sisipan budaya melayu yang dijelmakan dalam bentuk robotik amat menarik perhatian.

Anak jati Perak ini telah membawa pengalaman seni artistik bersamanya lebih dari 20 tahun. Lukisan beliau memberi tumpuan kepada kemahiran penggunaan teknik airbrushing yang inovatif, menggambarkan anime (kartun) yang memberi satu impak definisi tinggi yang mampu meletakkan nama beliau sebaris dengan artis-artis antarabangsa terkenal seperti HR Giger dan Hijame Sorayama.

Subjek jelmaan imaginasi Raja Lope yang digunakan anataranya patung wayang kulit, naga, bunian, jentayu dan kuda kepang serta menggunakan motif tekap kraf dan kerawang seperti busana Melayu.

Sentuhan campuran berus air dalam setiap seni lukisnya menampakkan subjek itu timbul dan memberi efek tiga dimensi (3D). Katanya, pameran lukisan tersebut mempunyai nilai kenangan tentang asal-usulnya yang cuba dikekalkan dengan memberi nafas baru dan segar.

“Saya mengambil masa mengkaji tentang budaya Melayu seperti wayang kulit, Kuda Kepang dan sebagainya. Bingkisan elemen itu ciba saya terbitkan dalam dunia yang futuristik. “Sesetengah pihak sudah melupakan adat dan budaya melayu serta kisah mitos yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan dan bualan masyrakat kita.

“Saya merasakan penghasilan karya ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan budaya Melayu agar tidak terus tenggelam oleh perkembangan dunia digital”, ujarnya.

Pameran ini mempersembahkan lapan karya yang membawa konsep surrealisme dan fantasi. Raja Lope menyuntik perspektif yang segar ke dalam karya-karyanya dengan mengintegrasikan identiti Malaysia berpandukan kisah dan cerita rakyat dan budaya tempatan dan digabungkan bersama pengaruh Barat dengan penggunaan teknik dan lukisan airbrushing.

The Royal Rumble merupakan karya utama dalam pameran kali ini yang menggambarkan pemerhatian terhadap kehidupan harian yang diinspirasikan daripada peribahasa Melayu, kucing bertanduk selain diselitkan dengan pengaruh anime popular dari seorang artis terkenal, Totoro Hayao Miyazaki.

Keaslian budaya Melayu seperti Kuda Kepang dan Wayang Kulit turut diselitkan ke dalam karya seni kontemporarinya membolehkan orang Melayu mengkaji dan meninjau kembali sejarah dan permulaan mereka.

Selain itu, Raja Lope juga berusaha membawa penonton meneroka dan mengimbas zaman kanak-kanak dengan pelbagai cerita dongeng dan hikayat yang pernah diceritakan, kali ini diterjemah secara kontemporari yang dibantu dengan kemajuan teknologi.

Mengharapkan karya-karyanya yang diperhalusi dan dinikmati oleh pengunjung yang menginginkan sesuatu yang baru dalam seni kontemporari, pameran berjudul Lope” kini dibuka untuk tontonan ramai di Core Design Gallery, Subang Jaya, Selangor.

Pameran secara percuma ini berlangsung selama sebulan sehingga 30hb November ini.

 

For further inquiries , please do not hesitate to contact :

Syikin – +60356121168

Email – syikin@coredesigngallery.com

Gallery Business Hour :

10:00am -7:30pm (Mon – Fri)

Sat & Sun (based on Appointment)

 


Comments are closed.