Fantasi Anime Jepun

Pameran LOPE gabungkan gaya kontemporari dan tradisional Melayu

Oleh Latifah Arifin

latifah@bh.com.my

Fenomena fantasi anime Jepun dalam gaya campuran kontemporari dan tradisional Melayu memberi kelainan pada Pameran LOPE yang berlangsung di Core Design Gallery hingga 30 November.

Pameran solo yang menggunakan nama pelukisnya, iaitu Raja Lope Rasydidi atau Lope, 41, mempamerkan lapan karya tampil ‘bernyawa’ dengan gabungan bahantara akrilik dan teknik seni berus angin.

Lope berkata, minat yang begitu besar terhadap sentuhan fantasi memberi ruang kepadanya untuk memberi kelainan pada pameran kali ini dengan memilih watak anime yang popular di Jepun sebagai subjek.

“Bagaimanapun, watak anime dalam karya saya tidak berkiblatkan Jepun semata-mata, sebaliknya saya menerapkan unsur budaya Melayu yang menjadi jati diri kita. Kelainan yang saya berikan ini dapat dilihat pada olahan watak dalam wayang kulit dalam karya, The Message II.

“Karya ini menggabungkan unsur futuristik di sebalik kisah lagenda Melayu, orang bunian dan tarian tradisional kuda kepang”, katanya pada pertemuan dengan Galeri BH di sini, baru-baru ini.

Seni berus angin

Galeri BH turut tertarik dengan penggunaan seni berus angin , iaitu melukis menggunakan air dan cat yang disemburkan ke media menggunakan bantuan tekanan angin, teknik yang masih kurang digunakan pengkarya tempatan.

Di tangan Lope karyanya memberi kelainan ketara apabila lukisan yang dihasilkan tampak ‘bernyawa’ dengan campuran warna yang sekata lagi menonjol seperti dapat dikesan pada The Royal Rumble.

“Karya ini mendapat inspirasi daripada peribahasa Melayu, kucing bertanduk, tetapi saya olah semula dengan menggabungkan gaya animasi pengaruh artis popular anime Jepun, Totoro Hayao Miyazaki “, jelasnya.

Kucing gergasi bertanduk yang dijadikan subjek utama dalam karya itu tampil hidup hasil kebijaksanaan Lope bermain dengan nada rona yang bersesuaian dengan kehendak tema karyanya itu.

Karyanya, Three Some, juga menampilkan kelainan tersendiri apabila menggabungkan bentuk manusia, robot dan separa haiwan dengan gaya tersendiri dan pengunjung berpeluang menyaksikan Self-Potrait-Self Maintenance, Baroh dan UAW’s.

INFO

Pameran LOPE

Pelukis : Raja Lope Rasydidi

Karya : 8

Lokasi : Core Design Gallery, 87, Jalan SS15/2A Subang Jaya, 47500, Selangor

Tarikh : Sehingga 30 November 2013

Telefon : 0356121168

Laman Web : http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

 

 


Comments are closed.