Perspektif segar seni lukis semburan angin

PADA November ini, Core Design Gallery di Subang Jaya memperkenalkan pameran solo pertama bagi artis seni kontemporari tempatan, Raja Lope Rasydidi.

Pameran LOPE membawa pengalaman seni pelukisnya melebihi 20 tahun dari bidang seni grafik bagi menghasilkan suatu produk yang menyelitkan suatu yang baru dan berunsurkan fantasi.

Hasil karyanya menggunakan teknik semburan angin atau ‘airbrushing’ bagi memastikan hasilnya lebih realistik kerana hanya beberapa artis menggunakan kaedah itu, antaranya HR Giger dan Hijame Sorayama.

Menerusi 15 karya itu, Raja Lope membawa konsep surreal dan fantasi selain menyuntik perspektif segar dalam setiap karyanya berpandukan kisah, dongeng, cerita rakyat dan budaya tempatan.

Bukan saja mempunyai makna tersirat dan simbolik tetapi ia turut mempamerkan penggunaan warna resolusi tinggi dan tiga dimensi umpama melihatnya di kaca televisyen (TV).

Penonton mampu menilai sendiri apabila terselitnya unsur wayang kulit berbadan robot, kuda kepang, makhluk mitos seperti garuda, naga, pari-pari, jentayu yang diilhamkan sebagai separuh manusia dan separuh burung.

The Royal Rumble juga menggambarkan ketelitian dan pemerhatian Raja Lope mengenai kehidupan seharian dengan mengaplikasikan ‘kucing bertanduk’ dan diselitkan dengan pengaruh anime popular milik Totoro Hayao Miyazaki.

Pelukis daripada Bandar Bukit Raja, Klang ini turut menghasilkan karya menampilkan karikatur Lady Gaga dan Madonna.

INFO:

Pameran solo LOPE

Lokasi: Core Design Gallery, No 87, Jalan SS15/2A 57500 Subang Jaya, Selangor
Tarikh: Kini hingga 30 November 2013
Masa: 10 pagi – 7.30 petang
Artis: Raja Lope Rasydidi Raja Rozlan
Jumlah karya: 15
Telefon: 03 – 56121168
Web: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com


Comments are closed.