Inspirasi daripada pemerhatian

Artikel ditulis oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

TEKNIK ABSTRAK INI AKAN MEMBOLEHKAN ORANG LAIN BERFIKIR TENTANG APA YANG SAYA HASILKAN MELALUI KARYA SAYA. SETIAP ORANG ADA MAKNA SERTA KEFAHAMANNYA YANG TERSENDIRI…

BAK kata orang, ‘jauh perjalanan luas pengetahuan’, sememangnya bersesuaian dengan apa yang ditonjolkan melalui pameran solo pelukis ini.

Pelukis yang digelar Shafarin Ghani melalui pameran solonya berjudul ‘Man and His God’ ini menerangkan apa yang pernah diperhatikannya sepanjang mengembara ke seluruh dunia.

Jelas Shafarin, idea untuk menyiapkan 16 buah karya dalam siri ‘Man and His God’ ini hadir apabila melihat perbezaan pandangan agama dan kepercayaan di tempat yang pernah diterokainya selama ini.

“Sepanjang pengembaraan saya di serata dunia, apa yang saya perhatikan setiap masyarakat mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza.

“Di kawasan timur lain, barat lain. Itu semua adalah kepercayaan dan pegangan yang dicipta mereka sendiri.

“Sepanjang dua tahun pengembaraan saya untuk menghasilkan siri kali ini, negara India merupakan negara yang cukup kuat dari segi pegangan dan kepercayaan mereka.

“Selama pemerhatian saya, kepercayaan masyarakat di India berpegang teguh terhadap dewa mereka. Percaya kepada semangat tanah juga merupakan salah satu kepercayaan yang masih digunakan di sana.

“Kepercayaan mereka cukup berlainan jika ingin dibandingkan dengan kepercayaan di tempat lain,” jelas Shafarin.

Tambah Shafarin lagi, bagi penggembara yang mahu mengembangkan ilmu alam, negara India adalah tempat yang paling tepat untuk dilawati.

Jelas Shafarin, budaya dan kefahaman mereka lebih kompleks, banyak aktiviti yang tidak pernah kita lihat selama ini sebenarnya boleh dilihat di India.

“Seperti upacara bakar mayat yang dilakukan di kawasan Sungai Gangga, aktiviti itu cukup berbeza, kita boleh lihat ada orang yang tengah bersedih dan ada juga orang yang gembira, reaksi mereka sebenarnya berbeza.

“Kepercayaan mereka terhadap Sungai Gangga sendiri juga sudah pelik, bagi mereka sungai tersebut adalah sungai suci, pelbagai aktiviti agama dijalankan di situ, saya sendiri cukup teruja melihat gelagat mereka di situ.

Bahagi dua bahagian

“Untuk pameran kali ini saya bahagikan kepada dua bahagian. Lapan keping karya saya menceritakan tentang naratif landskap seperti apa yang saya nampak tentang India.

“Manakala lapan keping lagi ialah siri kotak (box). Saya gunakan garisan untuk menerangkan tentang karya saya. Apa yang saya terapkan untuk lapan karya ini adalah tentang tindak tanduk serta apa yang akan berlaku kepada umat manusia,” jelasnya

Kesemua karya dalam siri ‘Man and His God’ ini lebih kepada intelektual dan bukannya melebihkan dari sudut kepercayaan ritual.

Bagi memberi pengetahuan yang berbeza, lukisan berkonsepkan abstrak telah menjadi pilihan pelukis yang berasal dari utara tanah air ini. Baginya sekira diberi atau dilukis secara terus terang itu akan memberi makna yang lain.

“Sebaik-baiknya, teknik abstrak ini akan membolehkan orang lain berfikir tentang apa yang saya hasilkan melalui karya saya. Setiap orang ada makna serta kefahamannya yang tersendiri.

“Saya juga sebenarnya cukup meminati bidang sastera. Setiap karya saya juga selitkan beberapa puisi bagi menerangkan tentang apa yang saya maksudkan serta menerangkan tentang idielogi saya sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, Shafarin pernah mengadakan lebih daripada lima siri pameran solo di Malaysia. Seawal usianya 17 tahun lagi Shafarin sudah mula berpameran dan pernah mempelajari ilmu lukisan ini dengan beberapa nama besar pelukis tempatan.

Bagi yang meminati tentang karya-karya ini, bolehlah berkunjung ke Core Design Gallery di Subang Jaya, Selangor. Pameran ini masih lagi dibuka kepada umum sehingga hujung bulan nanti.

 


Comments are closed.