Interpretasi hubungan manusia,pencipta

Pameran Siri Man and His God hasil pengembaraan ke India, Indonesia

Ditulis oleh : Siti Haliza Yusop
shyusop@bh.com.my

Interpretasi M Shafarin Ghani mengenai hubungan manusia dan pencipta, diterjemahkan melalui lukisan pada pameran Siri Man and His God di Galeri Core Design, Subang Jaya yang berlangsung sehingga 30 April ini.

M Shafarin Ghani berkata, Man and His God tidak sekadar menggambarkan kematangannya sebagai pelukis, bahkan lahir daripada renungan panjang terhadap alam semulajadi, terutama ketika kembaranya ke beberapa negara sebelum ini.

“Saya gemar menggembara ke negara luar kerana ingin memperluaskan pengetahuan mengenai ruang lingkup kehidupan di luar. “Dua tahun lalu, saya ke India selama enam bulandan kesempatan menjejakkan kaki ke tanah penuh magis itu membolehkan saya bertemu refleksi diri”, katanya kepada Galeri BH di Galeri Core Design, baru-baru ini.

M Shafarin berkata,ketakjuban itu turut dirasai mereka yang menggembara ke negara berkenaan yang dianggapnya berpunca daripada semangat kerohanian yang dialami.

Catatan kertas, tisu

“Sepanjang kunjungan ke India bersama isteri termasuk melewati Himalaya, saya membuat banyak catatan sama ada di atas kertas, tisu atau kotak rokok. “Saya tidak melukis apabila berada di sesuatu kawasan, sebaliknya menulis catatan supaya apa saja idea yang diperoleh, tidak terus hilang sekembali ke tanah air”, katanya.

Man and His God yang juga pameran solo ketiganya, turut merakam kembara beliau ke Yogyakarta, Indonesia yang membuahkan ilham kepadanya untuk menghasilkan lukisan bertajuk Imogiri.

Imogiri yang bermaksud kabut di lereng bukit dalam bahasa Jawa Kuno, dilukis secara menegak bagi membiaskan konsep Man and His God itu sendiri.

“Ia lebih kepada simbolik sifat semula jadi manusia yang akan bersujud dan berdoa kepada-Nya untuk memohon sesuatu”, katanya.

Meneliti karya pelukis kelahiran Pulau Pinang itu, selain serasi dengan penggunaan bahantara cat minyak, M Shafarin juga dilihat mesra mengadun catannya dengan warna gelap.

“Lukisan mempunyai kesinambungan yang berkait dengan aspek emosi sehingga sedikit sebayak ia turut menggambarkan sikap saya yang gemar menyendiri.

“Saya selesa menggunakan warna gelap dan perlu berkemahiran menyamatarakan keperluan cahaya serta bayang-bayang dalam setiap karya”, katanya.

Lokasi Pameran :

Core Design Gallery,87, Jalan SS15/2A,47500 Subang Jaya, Selangor

Pameran berlangsung dari :

17hb Mac sehingga 30hb April 2014

Laman Web :

http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

Maklumat lanjut boleh hubungi di talian:

03-56121168 – dari 10pagi -7malam


Comments are closed.