Manusia dan Tuhan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Pengalaman menjelajah dunia luar mengadun pelbagai rasa hingga memboleh­kan pelukis seni kontemporari tempatan, M Shafarin Ghani menerbitkan hasil abstrak cukup bernilai.

Pada saat orang lain leka dengan urusan duniawi, M Shafarin mencuri peluang mengembara untuk melihat hubungan antara Tuhan dan manusia.

Kesimpulan yang diperoleh, ada yang mendahulukan Tuhan dan ada juga sebaliknya. Ada yang percaya, namun ada juga menafikannya.

Begitupun, setiap rasa dan ketika yang berharga diabadikan M Shafarin de­ngan sentuhan berus di atas kanvas bersih.

Justeru, selepas dua tahun menzahirkan memori, penglihatan dan perasaannya dalam bentuk lukisan, M Shafarin kini mem­pamerkan keseluruhan 16 hasil seni abstrak di pameran solo Man and His God di Galeri Core Design.

Menurutnya, karya yang ditampilkan kali ini cukup berbeza berbanding tiga pameran solonya sebelum ini.

“Sebelum ini, saya ba­nyak mengetengahkan karya realistik dan seni abstrak yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan diri.

“Namun, pameran kali ini sarat dengan ekspresi spontan yang saya rasa, lihat dan alami sendiri sepanjang tempoh pengembaraan,” katanya.

Melihat karyanya yang dulu, M Shafarin lebih dikenali dengan lukisan lautan bersifat ekspresi abstrak.

“Berbeza dengan Man and His God, meskipun warna dan strok masih kekal, ia memberi impak visual yang berlainan.

“Malah jika diteliti, setiap karya dalam pameran ini mencerminkan kehidupan dalam karakter tersendiri,” katanya.

Apapun, biasanya pelukis ekspresi abstrak sukar mencapai tahap ini kerana kebanyakan lukisan yang dihasilkan pasti kelihatan hampir sama.

Karya Imogiri yang diketengahkan sebagai karya utama umpamanya, ia memaparkan keagu­ngan pergunungan Himalaya dan dikaitkan dengan jiwa manusia.

Aura dan memori sepanjang pengembaraan M Shafarin turut ditonjolkan dengan ketara dalam tujuh karya berbeza yang berlatarkan landskap.

Sementara lapan karya seni selebihnya dikenali sebagai ‘the box series’ yang mengetengahkan minda artis dan penonton melalui rangka kotak.

Hasil seni ini mencerminkan jiwa pelukis dan sekali gus disebatikan
dengan perjalanan rohani yang suci.

INFO MAN AND HIS GOD

Tempoh Pameran: Sehingga 30 April 2014
Tempat: Core Design Gallery, No 87, Jalan SS15/2A, 47500 Subang Jaya, Selangor.
Laman Web: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com
E-mel: scar@coredesigngallery.com
Telefon: (Scarlette Lee) 03-56121168


Comments are closed.