Pameran solo karya abstrak

Ditulis oleh Mohd Shazwan Yusop

shazwan.yusop@kosmo.com

LUKISAN abstrak merupakan suatu karya yang memiliki bentuk tidak jelas sehingga sukar difahami orang lain. Setiap garisan dan warna yang digunakan dalam lukisan jenis ini mempunyai maksudnya tersendiri yang hanya diketahui oleh pelukisnya.

Itulah gaya lukisan yang menjadi pilihan pelukis kontemporari, Shafarin Ghani, 33, dalam pameran solonya di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor.

Pameran yang dikenali sebagai Man and His God itu merupakan pameran solo ketiga beliau bersama Galeri Core Design selepas kejayaan pameran sebelum ini, Oeuvre of Movement No 1 dan 2.

Menurut anak jati kelahiran Dato Keramat, Pulau Pinang itu, pada pameran tersebut beliau menampilkan beberapa kelainan berbanding pameran-pameran sebelum ini.

“Walaupun warna dan strok lukisan yang diketengahkan masih sama dengan pameran sebelum ini namun ia memberi impak visual yang berbeza.

“Karya-karya pada pameran ini juga seakan-akan mempunyai kehidupan dan karakternya yang tersendiri,” katanya yang mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan kesemua 16 lukisan dalam pameran tersebut.

Hampir serupa

Ujarnya, pada kebiasaan agak sukar untuk pelukis ekspresi abstrak untuk mencapai tahap seperti itu kerana kebanyakan lukisan jenis abstrak kelihatan hampir serupa lebih-lebih lagi dalam satu siri yang sama.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ilham untuk melukis lukisan-lukisan pada pameran tersebut diperoleh hasil pengembaraannya selama enam bulan ke beberapa buah negara antaranya, India, Nepal, dan Indonesia.

“Sepanjang pengembaraan, saya menyelami pelbagai aspek kehidupan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan adat.

“Kepelbagaian ini cuba diterjemahkan melalui hasil karya-karya saya dalam pameran ini,” katanya yang lebih selesa menggunakan medium cat minyak dalam setiap karyanya.

Sementara itu, bercerita mengenai maksud yang tersirat dalam salah satu karya utama beliau dalam pameran itu bertajuk Imogiri, beliau berkata, lukisan tersebut diilhamkan hasil pengembaraannya di Imogiri, Yogyakarta, Indonesia.

Lukisan bersaiz 183 sentimeter (sm) x 140sm itu cuba memaparkan keagungan pergunungan di Imogiri sambil dihubungkaitkan dengan jiwa raga manusia yang diibaratkan seperti setitik debu di pergunungan tersergam indah itu.

“Lukisan ini cuba menunjukkan betapa rapuhnya kehidupan manusia berbanding dengan keagungan pencipta gunung tersebut,” ujarnya lagi.

Selain karya Imogiri, terdapat tujuh lagi karya yang mengetengahkan latar belakang landskap dalam pameran tersebut manakala selebihnya dikenali sebagai karya the box series. Karya tersebut seolah-olah mencerminkan minda pelukis dan penonton sebati melalui satu rangka kotak.

Trivia tentang Pameran Man and His God :

Galeri Core Design

87 Jalan SS15/2A, 47500 Subang Jaya, Selangor

Waktu : 11pagi hingga 7 malam

Tarikh : Sehingga 3ohb April

Masuk : Percuma

Telefon : 03-56121168 atau layari laman web http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

Facebook : http://www.facebook.com/coredesigngallery

 

 


Comments are closed.