Kembara cetus Idea melukis

Pelukis seni kontemporari tempatan, M Shafarin Ghani akui pengalaman menjelajah dunia luar banyak memberikannya idea baharu dalam menghasilkan karya yang cukup bernilai.

Kira-kira dua tahun juga dia menzahirkan memori penglihatannya dan perasaannya dalam bentuk lukisan. Dan kini, segala penat lelah berbaloi apabila sebanyak 16 hasil seni abstrak telah dipamerkan pada pameran solo Man and His God di Galeri Core Design.

Menurutnya, karya yang ditampilkan kali ini cukup berbeza berbanding tiga pameran solonya sebelum ini.

“Sebelum ini, saya banyak mengetengahkan karya realistik dari seni abstrak yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan diri.

“Namun, pameran kali ini sarat dengan ekspresi spontan yang saya rasa, lihat dan alami sendiri sepanjang tempoh pengembaraan,” katanya.

Melihat karyanya yang dulu, M Shafarin lebih dikenali dengan lukisan lautan bersifat ekspresi abstrak.

“Berbeza dengan Man and His God, meskipun warna dan strok masih kekal, ia memberi impak visual yang berlainan.

“Malah jika diteliti, setiap karya dalam pameran inin mencerminkan kehidupan dalam karakter tersendiri,” katanya.

Sementara itu, lapan karya seni selebihnya dikenali sebagai the box series yang mengetengahkan minda artis dan penonton melalui rangka kotak. Hasil seni ini mencerminkan jiwa pelukis dan sekaligus disebatikan dengan perjalanan rohani yang suci.

 

Diterbitkan oleh: Sinar Harian

Tarikh penerbitan: 23hb April 2014


Comments are closed.