Eksperimentasi Pyrography

Oleh: Rasdan Ahmad

Mungkin masih ramai lagi yang tidak mengetahui tentang salah satu kaedah seni yang dikenali pyrography kerana kaedah ini sememangnya masih jarang diketengahkan di peringkat nasional.

Pyrography atau juga dikenali pyrogravure merupakan satu kaedah tekapan yang menggunakan bahan cetak yang dipanaskan terdahulu dengan api (sejenis cara haba cetak atas canvas).

Kaedah ini juga turut dipanggil write on fire (menulis dengan api). Dalam bahasa Greek klasik perkataan ‘pur’ merujuk kepada api manakala ‘graphos’ pula bermakna tulisan.

Kaedah ini pada dasarnya sudah lama digunakan oleh pengkarya-pengkarya seni antarabangsa dan dipercayai kaedah ini diperkenalkan sejak kurun ke-16.

Ramai penggiat seni antarabangsa sebelum ini mencuba kaedah pyrography dengan menggunakan ukiran daripada kayu, kemudiannya dibakar sebelum di cop ke atas kanvas.

Menurut fakta sejarah, kaedah ini telah dipraktikkan dalam budaya Mesir dan beberapa negara di Afrika. Kaedah pyrography ini juga telah dikesan diguna pakai ketika Dinasti Han di China.

Ketika era Victoria, kaedah ini telah mencapai kemajuan apabila pelbagai mesin berkenaan pyrography telah dicipta. Kaedah ini juga merupakan antara kaedah terkenal bagi menghasilkan karya kraf ketika itu.

Kaedah ini sememangnya masih hijau lagi di Malaysia, bahkan pyrography bukanlah menjadi pilihan utama kepada pengkarya-pengkarya seni tempatan.

 

RAGE

Namun bagi artis muda tempatan Haafiz Shahimi, kaedah pyrography menjadi kaedah utamanya dalam menghasilkan karya pada pameran solonya yang berjudul RAGE – Raising Awareness towards Greater Existence.

Haafiz Shahimi ialah salah seorang artis kontemporari yang sangat inovatif akan mempersembahkan karya pyrography monotype printmaking di Core Design Gallery.

Baru sahaja menjengah usia 28 tahun, artis yang berasal dari Kedah ini memang berbakat dan berbeza dalam menghasilkan karya seni.

Cara penghasilan cetak panasnya adalah melalui besi yang telah dipotong menjadi imej ikan dan kemudian dibakar panas untuk dicetakkan ke atas PVC.

Kemudiannya pengkarya ini akan menggunakan cat serta warna-warna menarik dan dilukiskan untuk imej tersendiri seperti yang ditunjukkan melalui karya berjudul Kembali Bernafas.

Haafiz Shahimi juga merupakan seorang pesilat yang telah menggabungkan kaedah B-boy dalam tariannya. Selalunya Haafiz juga akan menggunakan tenaga tarian sambil menghasilkan karya lukisannya.

Garisan-garisan yang dihasilkan dengan charcoal kebanyakannya dihasilkan secara spontan dan Haafiz juga berani membawa perwatakan yang bebas dalam figura lukisannya.

“Di Malaysia, rasanya saya merupakan artis pertama menggunakan kaedah ini dalam menghasilkan karya. Kaedah ini sememangnya cukup sukar namun saya berjaya menghasilkannya.

“Saya mencetak atau menekap kaedah ini di atas PVC kerana medium tersebut dilihat cukup tahan berbanding kertas atau kanvas biasa,” jelas mahasiswa seni dari University Teknologi Mara (UiTM).

Pameran solo RAGE yang berlangsung di Core Design Gallery, Subang Jaya ini telah mula diadakan sejak 23 Mei lalu dan dijadualkan berakhir pada 27 Jun nanti.

 

Diterbitkan oleh: Utusan Malaysia

Tarikh Terbitan: 08 Jun 2014

 


Comments are closed.