Kesan Terbakar pada Kanvas

Oleh: Mohd Shazwan Yusop

Pelukis tempatan Haafiz Shahimi kini mempamerkan tiga buah karya terbaharunya menggunakan teknik pyrography pada pameran solo pertamanya di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor.

 

Teknik lukisan pyrography bukanlah sesuatu yang baharu bagi kebanyakan pelukis di Eropah terutamanya Romania, Hungary dan Belanda.

Namun di negara ini, teknik tersebut dianggap baharu kerana ia masih kurang dipraktikkan oleh para pelukis tempatan dalam menghasilkan karya mereka.

Pyrography adalah teknik menghasilkan karya melalui cetakan haba di atas kanvas.

Selalunya, ia dihasilkan melalui pemindahan haba daripada logam dan kayu yang telah diukir terlebih dulu ke atas permukaan yang dikehendaki sama ada kanvas mahupun kulit.

Menurut catatan sejarah, teknik tersebut dikesan sejak zaman Mesir purba. Waktu itu, kebanyakan reka bentuk diperoleh hasil daripada mayat-mayat yang hangus terbakar.

 

Kelainan

Pelukis muda berbakat besar tempatan, Haafiz Shahimi, 28, telah menghasilkan tiga buah lukisan menggunakan teknik pyrography untuk memberi kelainan pada pameran seni solo pertamanya itu.

Menurut anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, dia telah lama memasang impian untuk menghasilkan karya menggunakan teknik tersebut.

“Saya mengimpikan untuk menghasilkan karya-karya seni menggunakan teknik cetakan haba daripada logam yang telah diukir mengikut bentuk ikan.

“Logam-logam berbentuk ikan ini dihasilkan sejak saya menuntut di universiti lagi sewaktu menyiapkan tugasan akhir saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran pameran solonya di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ujar graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Seni Halus itu, tiga buah lukisan itu ialah Kembali Bernafas, Seiring tidak Bersama dan Self-Fish.

Tambahnya, lukisan yang dihasilkan menggunakan teknik tersebut sangat unik dan berbeza berbanding teknik lain yang lazim digunakan oleh para pelukis di negara ini seperti akrilik, catan, dan arang.

“Teknik ini akan menampakkan kesan-kesan terbakar di atas permukaan kanvas secara semula jadi,” katanya yang mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan kesemua karyanya itu.

Dalam pada itu, Haafiz turut memaklumkan bahawa dia merupakan pelukis tempatan pertama yang menghasilkan lukisan menggunakan teknik tersebut.

Sementara itu, mengulas berkenaan pameran solo pertamanya bertajuk Raising Awareness towards Greater Existence (RAGE), dia memaklumkan bahawa dalam pameran itu terdapat sebanyak 15 buah lukisan terbaharunya.

Ujarnya, dalam pameran yang berlangsung selama sebulan itu, para pengunjung berpeluang melihat kepelbagaian teknik dan bahan yang digunakan dalam menghasilkan karya.

Antara bahan-bahan yang diguna pakai dalam menghasilkan lukisan pada pameran kali ini termasuklah cat minyak, arang, pensel, peluntur, minyak petrol dan cat semburan.

“Kebanyakan karya pada pameran kali ini ialah semi abstrak iaitu lukisan yang seakan-akan tidak jelas.

“Walaupun, tidak jelas, namun ia mempunyai maksud tersirat sekiranya dihayati dengan teliti,” katanya yang berkecimpung dalam bidang seni sejak tiga tahun lalu.

 

Info

Alamat: Galeri Core Design, No 87, Jalan SS15/2A, Subang Jaya, Selangor.

Tarikh: 23 Mei hingga 27 Jun 2014.

Masa: 10 pagi hingga 7 petang (Isnin hingga Jumaat), Sabtu dan Ahad berdasarkan temu janji.

Telefon: 03-56121168

Laman web: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

 

Diterbitkan oleh: Kosmo!

Tarikh terbitan: 09 Jun 2014

 


Comments are closed.