Sentuhan Pyrography Haafiz Shahimi

Oleh: Intan Mas Ayu Shahimi

Sentuhan pelukis ini nampak keras di luar, namun setiap karyanya unik kerana diolah dengan baik untuk memperlihatkan bagaimana keprihatinan manusia pada perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Bagi Haafiz Shahimi, 28, kepakarannya dalam pyrography (melakar menggunakan plat besi dan haba) adalah anugerah yang perlu dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Saya lebih suka menghasilkan seni lukisan yang digabungkan dengan teknik pyrography. Kaedah ini nampak agresif, namun memberi kepuasan dalam berkarya,” katanya.

Menurut anak kelahiran Kedah ini, dia memulakan karya seninya empat tahun lalu dengan cat air sebelum beralih kepada ‘action painting’ atau dikenali sebagai gestural abstraction.

“Dari situ, saya banyak melakukan persembahan dengan menggabungkan gaya melukis bersama ilmu persilatan.

“Dalam masa sama, saya juga mencuri masa selama setahun untuk melakukan kajian, sekaligus mempelajari seni pyrography,” katanya.

Jelas Haafiz, minatnya pada seni lukisan tidak membataskan dirinya untuk mencuba pelbagai teknik hingga mengetepikan penggunaan berus.

“Daripada jumlah keseluruhan karya, saya hanya menggunakan lima hingga 10 peratus berus. Selebihnya adalah kain, penyapu, mop serta medium lain yang mampu menghasilkan imej,” katanya.

Melihat semua karya yang digantung kemas di Core Design Gallery, Nuansa lebih banyak tertarik pada sentuhan pyrography dihasilkan Haafiz.

Karyanya yang bertajuk Self-Fish mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran lebih besar.

Walaupun ringkas, gabungan ‘ikan dan diri’ itu sebenarnya memberi bayangan jelas bahawa Haafiz sebenarnya cuba menonjolkan riak selfish (mementingkan diri) pada empunya wajah.

 

RAGE Tempoh Pameran: Sehingga 15 Jun 2014.

Tempat: Core Design Gallery, No 87, Jalan SS15/2A, 47500 Subang Jaya, Selangor.

Jumlah Karya: 15

Laman Web: http://malaysiacontemporaryart.coredesigngallery.com

E-mel: scar@coredesigngallery.com

Telefon: (Scarlette Lee) 03-56121168

 

 

Diterbitkan oleh: Harian Metro

Tarikh terbitan: 06 Jun 2014

 


Comments are closed.