Dinamika artis kontemporari

Pameran Great Art and Design (Grande) mempamerkan karya artis-artis tempatan yang cuba menyampaikan mesej secara tersirat.

Galeri Core Design merupakan galeri seni yang giat memperjuangkan seni kontemporari Malaysia dan kepercayaan terhadap seni tempatan yang bertahap global.

Pameran yang diberi nama Great Art and Design (Grande) ini mempamerkan karya artis-artis tempatan yang menghasilkan sesuatu yang unik dan mempunyai maksud mendalam.

Antara karya yang dipaparkan di Grande ialah Smoking Tiger karya Ali Nurazmal Yusoff.

Bunyinya agak pelik, namun lukisan yang dihasilkan mempunyai makna yang berat untuk diinterpretasikan .

Ali mempunyai kelainan dalan karya terbaharunya dengan tidak bermain dengan banyak warna. Sebaliknya, dia hanya menggunakan dua warna utama, hitam dan putih serta sedikit warna merah untuk menampakkan kesan pada lukisan.

Tegas Ali, imej pada lukisan yang dihasilkan menggambarkan isu masyarakat yang suka menyalahkan orang apabila berlaku sesuatu.

Luar Kawalan

Dalam karya Smoking Tiger, kelihatan seorang lelaki menghembuskan asap rokok ke arah seekor harimau yang kemudiannya mengundang kemarahan harimau tersebut.

“Dalam dunia nyata, saya cuba untuk memberitahu bahawa seseorang tidak boleh bertindak di luar kawalan dan mengganggu-gugat kehidupan orang lain.

“Jika itu berlaku, pastinya ada orang yang tidak senang dan menimbulkan kemarahan. Jadi, jangan salahkan orang atas sesuatu yang berlaku,” kata Ali ketika ditemui baru-baru ini di galeri tersebut.

Antara karya terbaik yang ditonjolkan di Grande ialah Bali Belulai. Ia diperbuat daripada kayu yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Diberi nama Bali Belulai, karya artis kelahiran Sarawak, Anniketyni Madian ini dipotong halus berbentuk geometrik yang diilhamkan daripada corak pua kumbu dari Kepulauan Borneo.

Pua kumbu ialah kain yang ditenun oleh wanita Iban yang dipakai dalam sesuatu upacara di Sarawak. Coraknya pada Bali Belulai yang berbentuk bulat.

Jelas artis yang bermula secara serius sejak tahun 2009 ini, hasil kerjanya yang berbentuk dua dimensi (2D) dihasilkan oleh dirinya termasuklah proses memotong kayu. Dia menggunakan gabungan kayu keras seperti jati dan meranti.

Dalam pada itu, karya Raja Lope Rasydi Raja Rozlan turut menarik perhatian. Diberi nama Intermission, hasil tangan ini begitu diberi perincian.

Lukisan ini menggambarkan teknologi dan manusia yang sudah tidak dapat dipisahkan, khususnya dalam teknologi komunikasi.

Jelas artis ini, teknologi sudah menjadi sebahagian daripada manusia malah tahap kebergantungan terhadap teknologi adalah tinggi.

“Apa akan jadi jika satu hari nanti, teknologi komunikasi ini tiba-tiba terhenti fungsinya? Sama seperti Intermission dalam siaran televisyen yang pernah berlaku dulu?

“Pastinya manusia hilang arah dan terkapai-kapai tanpa tujuan. Mereka seperti hilang sesuatu jika tidak ada teknologi yang dicipta oleh manusia,” terangnya.

Bagi pengarah Galeri ini, Scarlette Lee, setiap karya yang dipilih dalam pameran tersebut menonjolkan cara dinamik artis kontemporari negara ini sebagai perkembangan hasil seni pada masa akan datang.

“Setiap karya diterjemahkan dengan cara dan makna yang berbeza. Antara artis yang menyertai pameran ini ialah Ali Nurazmal, Anniketyni Madian, Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Hamir Soib, Husin Hourmain, Jamil Zakaria, Louise Low, Masnoor Ramli, Raja Lope Rasydi dan Zulkifli Yusoff,” katanya.

 

Ditulis oleh: Kasanabilah Kamarul Zaman

Terbitan: Kosmo 2, Kosmo

Tarikh Terbitan: 18 Ogos 2014

 


Comments are closed.