Karya inspirasi sejarah negara

Karya terbaharu Zulkifli Yusoff, Demonstration menghimpunkan petikan ucapan-ucapan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

ZULKIFLI YUSOFF terkenal sebagai artis yang menitikberatkan isu-isu politik dan nilai patriotik dalam menghasilkan karyanya.

Antara karya yang dihasilkannya ialah Pelayaran Munshi Abdullah dan Wasiat 1975. Karya terbaharunya, Demonstration menghimpunkan petikan ucapan-ucapan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein yang turut digelar sebagai Bapa Pembangunan negara.

Karyanya yang menggunakan campuran kerja media atas kain kanvas ini bertujuan mengingatkan masyarakat tentang sejarah negara.

Contohnya, dengan perincian yang begitu cantik, setiap teks yang terletak pada karyanya itu padat dengan wawasan yang memupuk inspirasi dan sejarah.

Antara bait ucapan yang terdapat pada Demonstration ialah tentang demonstrasi pelajar yang berlaku pada tahun 1974.

Peristiwa tersebut berlaku ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Tun Razak telah memberikan ucapannya berikutan demonstrasi tersebutyang dilakukan oleh sebilangan pelajar Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara, University Malaya, Institut Teknologi Kebangsaan dan Kolej Tunku Abdul Rahman.

Isu inflasi

Kumpulan pelajar tersebut berdemonstrasi dengan membangkitkan isu inflasi yang berlaku selain kejatuhan harga getah yang banyak memberi kesan kepada rakyat luar bandar seperti yang berlaku di daerah Baling. Peristiwa itu turut merujuk kepada Insiden Baling 1974.

Nilai-nilai yang terkandung dalam karya Demonstration diperincikan menerusi lapisan kain yang ditenun pada kanvas putih dan dicetak dengan teks hitam yang kelihatan seperti jalur nipis.

Jalur nipis itu membentuk pandangan tiga dimensi. Bentuk resin yang berwarna pula berlawanan dengan imej monokromatik (hitam putih) yang dihasilkan dengan persempadanan yang dibuat.

Dari jauh, resin berwarna tersebut kelihatan seperti kristal berbentuk segi tiga, bujur atau segi empat yang berwarna-warni yang tersusun cantik. Ia mampu menarik orang datang lebih dekat untuk melihat karya yang dihasilkan.

Ternyata, ia bukan sekadar susunan grid, sebaliknya menyampaikan maksud dan suasana peristiwa bersejarah yang berlaku pada zaman tersebut.

Bukan hanya mahu mengimbau sejarah, Zulkifli menterjemahkan dalam keryanya tentang betapa rakyat negara ini perlu memberi penekanan terhadap kesejahteraan negara dengan memasukkan elemen kekacauan.

Beliau mahu menyampaikan bahawa kekacauan yang dilakukan oleh golongan antinasionalisme boleh mengancam keselamatan awam.

Pada zaman golongan antinasionalisme tersebut, pengaruh komunis dan budaya pro-Barat begitu menular di negara ini.

 

Ditulis oleh: Kasanabilah Kamarul Zaman

Terbitan: Kosmo! 2, Kosmo

Tarikh terbitan: 25 Ogos 2014

 


Comments are closed.