Pameran seni Grande

Core Design Gallery dibuka empat tahun lalu dengan pameran pertamanya bertajuk Garis-garis Penghayatan, diikuti dengan kebanyakan pameran berkumpulan untuk artis bakat muda.

Dalam tempoh empat tahun ini, Core Design Gallery telah memperkenal serta merasmikan beberapa pameran unggul kepada industri seni kontemporari tempatan.

Pada 2012, Core Design Gallery menggegarkan industri seni tempatan dengan memperkenalkan pameran unggul ALIsm oleh artis tempatan Ali Nurazmal, yang sekarang semakin dikenali dengan bakatnya dalam menghasilkan seni karya figuratif yang realistik sekali.

Tahun 2013 merupkan tahun yang penting sekali untuk Core Design Gallery dengan penganjuran tiga pameran unik dan unggul dalam industri seni kontemporari tempatan.

Seni kontemporari kaligrafi yang berunsurkan Islam oleh artis Husin Hourmain, yang diperkenalkan pada bulan Mac 2013, mendapat sambutan baik daripada warganegara Malaysia tidak kira bangsa dan agama.

Seterusnya pameran Great Malaysia Contemporary Art (GMCA) dipamerkan di Art Expo 2013 turut mendapat sambutan baik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Akhir sekali sambil tahun 2013 mendekati penghujungnya, Core Design Gallery memperkenalkan seni kontemporari berunsurkan anime tempatan oleh Raja Lope Rasydi melalui pameran solonya, LOPE.

Seterusnya, Core Design Gallery menjalani pengubahsuaian yang mendalam dan lahirlah galeri seni kontemporari yang paling eksklusif. Galeri seni ini merupakan hasil reka bentuk teliti oleh arkitek Chun Hooi Tan.

Dengan itu satu pameran tahunan, Grande yang meraikan Core Design Gallery sebagai salah satu galeri seni yang unggul dianjurkan dalam memperjuangkan seni kontemporari Malaysia serta kepercayaan terhadap seni tempatan yang bertahap antarabangsa.

Pameran ini menumpukan artis tempatan daripada kategori berlainan, yang dipilih khas melalui bakat-bakat dalam pelbagai medium serta karya seni yang unik.

Oleh itu, Grande merupakan satu pameran yang menyambutkan penerimaan dan kepentingan seni kontemporari sebagai perkembangan hasil seni Malaysia pada masa yang akan datang.

Setiap karya yang dipilih menonjolkan cara dinamik artis kontemporari di Malaysia dan berbeza daripada hasil karya yang biasa kami kenali.

Contohnya Ali Nurazmal menghasilkan karya yang bersifat hitam putih dengan cara tersendirinya, Louise Low yang pernah dikenali dengan ikan jerung diperbuat daripada coli – sekarang menyelami kebudayaan Cinanya, Hamir Soib dengan karya yang kecil yang dulu – semua karya gergasi dan Raja Lope daripada animasi Melayu – sekarang menghasilkan cybetron.

Bagi Louise Low, karyanya berjudul Huat Dao!, mempunyai erti yang cukup mendalam. Jelasnya karya yang mempamerkan bentuk meja mahjung ini merupakn salah satu cara bagaimana dia menceritakan tentang budaya orang Cina.

“Bagi orang Cina duit ialah segala-galanya. Huat maksudnya duit, manakala Dao ialah sampai. Ini ialah budaya orang Cina yang sebenar,” jelasnya.

Sementara itu karya berjudul Smoking Tiger, hasil Ali Nurazmal merupakan sebuah karya yang memberi makna cukup mendalam kepadanya. Karya tersebut menceritakan bagaimana sikap manusia itu sendiri.

“Apa yang saya ingin jelaskan melalui karya ini adalah tentang sikap seseorang itu yang kita tidak tahu. Jadi kita tidak perlu kacau atau mengganggu seseorang kerana kita tidak tahu apa tindakan yang akan dilakukannya selepas itu,” jelasnya.

Arca unik berjudul Headless, karya Jamil Zakaria pula menceritakan tentang perjalanan hidupnya sebagai anak seni.

Dalam pada Raja Lope masih lagi mengekalkan tentang identiti karya seninya. Kali ini karya terbaru Lope berjudul The Intermission, menceritakan tentang kemajuan teknologi yang menghimpit manusia.

“Saya cuba ketengahkan tentang hubungan manusia dengan teknologi, manusia dengan manusia dan teknologi dengan teknologi.

“Saya lihat manusia terlampau bergantung kepada teknologi sehinggakan tanpa teknologi manusia tidak mampu untuk teruskan hidup ketika ini, tidak salah rasanya sekiranya kita kembali kepada dunia asal. Dulu tanpa teknologi manusia juga boleh hidup,” jelas Lope.

Artis-artis lain yang menyertai pameran Grande ialah Anniketyni Madian, Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Hamir Soib, Husin Hourmain, Jamil Zakaria, Masnoor Ramli, Raja Lope Rasydi dan Zulkifli Yusoff.

 

Oleh: Rasdan Ahmad

Terbitan: Mingguan Malaysia

Tarikh terbitan: 24 Ogos 2014

 

 

 

 


Comments are closed.