Perjuangan seni kontemporari

Galeri Core Design pamer karya artis berpengalaman

 

Galeri Core Design antara galeri seni yang unggul memperjuangkan seni kontemporari tempatan ke persada antarabangsa.

Meskipun pengkarya terutama beragama Islam menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan, ia tidak melunturkan semangat mereka mengadakan pameran di galeri itu.

Pameran GRAnDE (Great Art and Design) dibarisi artis berpengalaman antaranya Zulkifli Yusoff, Masnoor Ramli, Fauzin Mustafa, Hamir Soib, Husin Hourmain, Jamil Zakaria, Ali Nurazmal, Anniketyni Madian, Haafiz Shahimi, Raja Lope Rasydi dan Louise Low.

Ali Nurazmal tampil dengan karya monokrom atau hitam putih berjudul ‘Smoking Tiger’, jauh berbeza dengan karya sebelumnya yang banyak bermain dengan warna.

“Saya cabar diri menerusi hasil seni itu bagi menarik perhatian dan mengetahui tindak balas penonton terhadap karya terbabit, selain teknik terbaru untuk kegunaan masa depan.

“Lukisan yang disiapkan selama sebulan ini menceritakan sikap gelojoh manusia yang dicerminkan melalui sifat haiwan seperti harimau,” katanya.

Fauzin Mustafa yang tampil dengan Cerita Ceriti II lebih suka menggunakan sisi misteri apabila karya dengan wajah figura tertutup sepenuhnya.

“Campuran media di atas karyanya itu turut diserikan dengan corak wau bulan, dianggap simbolik kepada harapan.

“Walaupun wau bulan melayang jauh di langit, ia pasti mencecah bumi, sekali gus berkait dengan kehidupan dan masa depan,” katanya.

Cerita fantasi dan khayalan sudah sebati dengan Raja Lope Rasydi menerusi karya seni terbarunya, ‘Intermission’.

 

 

Ditulis Oleh: Nor Asyikin Sazali

Foto Oleh: Afendi Mohamed

Diterbitkan oleh: Harian Metro

Tarikh Terbitan: 01hb Ogos 2014


Comments are closed.