Permainan metafora

Aspresiasi 10 pelukis dengan persembahan berbeza pada Pameran GRANDE.

 

Pameran lukisan Great Art and Design (GRANDE) yang kini berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya sehingga 29 Ogos ini, menyatukan 10 pelukis sebagai aspresiasi kepada industri seni lukis kontemporari tanahair.

Menariknya, setiap karya yang dipamerkan menonjolkan pelukis yang mempunyai gaya persembahan berbeza, bukan saja dari segi teknik dan bahantara yang ditampilkan melalui permainan metafora yang menuntut pengunjung memberikan tafsiran tersendiri.

Pameran GRANDE disertai pelukis Anniketyni Madian, Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Hamir Soib, Husin Hourmain, Jamil Zakaria, Louise Low, Masnoor Ramli Mahmud, Raja Lope Rasydi dan Zulkifli Yusoff.

 

Karya memukau

Lukisan Cerita-Ceriti II karya penulis kelahiran Teluk Intan, iaitu Fauzin antara paling memukau yang menampilkan imej lelaki dalam keadaan tertunduk dan ditambah dengan sentuhan batik di sekelilingnya.

Cerita-Ceriti ialah frasa digunakan orang Melayu bagi membawa maksud cerita atau khabar angin dan ia menjadi kajian introspektif mengenai harapan mahupun jangkaan individu dalam kehidupan.

“Idea ini timbul apabila saya melihat perkembangan seni visual yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat, malah banyak pihak membuka mata mengenai kepentingannya dan mula menyokong perjalanan artis seperti kami,” katanya kepada Galeri BH baru-baru ini.

 

Warna kelabu MH370

Masnoor pula menjadikan isu semasa sebagai subjek dalam karyanya, Moulding the History: Grey Area in a Grey Sky yang menyorot kehilangan pesawat MH370 yang terus kekal menjadi tanda tanya.

Beliau bijak bermain dengan warna terutama penggunaan warna latar kelabu untuk menunjukkan kesedihan rakyat Malaysia dan dunia yang masih berharap keajaiban muncul bagi menjawab misteri berkenaan.

Selain itu, Masnoor menyampaikan mesej sinis terhadap sikap sesetengah individu yang mengambil kesempatan terhadap berita kehilangan pesawat berkenaan dengan memasukkan subjek bomoh yang meneropong ke arah langit.

Antara karya lain yang turut menggamit perhatian adalah Intermission oleh Raja Lope Rasydi, Tun Razak Speech Series – Demonstration (Zulkifli Yusoff), Huat dao! (Louise Low), Headless Chicken (Jamil Zakaria) dan Family Tree II (Husin Hourmain).

 

Oleh: Latifah Arifin

Terbitan: Berita Harian

Tarikh terbitan: 22hb Ogos 2014

 


Comments are closed.