Selusuri Kerja Seni Kritikal

GMCA makin dapat perhatian apabila penganjuran kedua bawa nama besar artis kontemporari negara.

 

Umum memang tahu keupayaan Great Malaysia Contemporary Art Show (GMCA) menggabungkan karya artis kontemporari dengan penonton.

Bermula dengan pengenalanya tahun lalu, GMCA semakin mendapat perhatian apabila memasuki penganjuran kali kedua yang membawa nama besar artis kontemporari negara.

Untuk tahun ini, galeri Artcube dan Galeri Core Design bergabung tenaga membawa penonton menelusuri hasil kerja seni kritikal.

Pameran GMCA 2014 dibarisi artis terkenal iaitu Fauzin Mustafa, Haafiz Shahimi, Shooshie Sulaiman, Umibaizurah Mahir Ismail, Zulkifli Yusoff, Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Ali Nurazmal Yusoff, Annabelle Ng, Azad Daniel Haris, Azrin Mohd, Daud Rahim, Eng Hwee Chu, Hamir Soib, Husin Hourmain, Masnoor Ramli Mahmud, Mat Nor Mahmud, Mohd Al–Khuzairie Ali, Mohd Fazli Othman, Raja Lope Rasydi Raja Rozlan, Suhaimi Fadzir serta Tan Chin Kuan.

Zulkifli Yusoff yang sinonim dengan seni baru menonjolkan perasaan menerusi kerja instalasi sejak dulu lagi.

Menerusi tajuk ‘Green Book’, Zulkifli melahirkan instalasi berskala besar yang mengandungi serpihan teks ucapan Tun Abdul Razak meliputi bidang ekonomi, politik dan masyarakat.

Husin Hourmain tampil menerusi hasil kerja terbarunya yang berwarna warni, diisi dengan pelbagai abjad Jawi diatas kanvas manakala Haafiz Shahimi berbangga dengan idea inovatif menerusi cetakan pyrographic.

Sebelum karya berharga itu dipertontonkan di Matrade, inilah peluang anda menjadi ‘orang pertama’ membeli atau sekadar memberi komen kepada pelukis.

Hasil karya 22 artis kontemporari negara itu bakal menemui penonton di galeri Artcube dari 3 hingga 22 September manakala pameran di Pusat Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur pada 25 hingga 28 september ini.

 

Ditulis oleh: Siti Salmiah A Hamid

Diterbitkan oleh: Harian Metro

Tarikh terbitan: 12 September 2014

 


Comments are closed.