Seni kontemporari isu patriotisme

Patriotisme menjadi topik perbincangan utama dalam karya hebat dua artis seni lukis tempatan, Azad dan Ahmad Shukri.

 

Garapan karya mengangkat martabat negara, isu perpaduan dan semangat patriotik dapat dilihat dengan jelas dalam dua karya berbeza hasil seni Azad Daniel dan Ahmad Shukri Mohamed.

Kedua-dua artis yang dikenali sebagai artisan seni kontemporari itu menggabungkan pelbagai material dalam menghasilkan karya masing-masing.

Meneliti karya Azad, lukisan bendera Jalur Gemilang kelihatan berkibar dengan gahnya. Monopoli lima warna utama Jalur Gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih menjadi tarikan dalam karya itu.

Cabaran menghasilkan karya Malaysia Boleh merupakan permainan pelbagai palet warna yang mampu menghasilkan efek dua dimensi Jalur Gemilang yang sedang berkibar.

Uniknya, dalam edisi khas Pameran Seni Ekspo, Seni Kontemporari Malaysia (GMCA) v 2.0, Azad menjadikan selongsong iPhone sebagai kanvas lukisan Malaysia Boleh.

“Dewasa ini, kita melihat masyarakat sangat tertarik dengan iPhone. Oleh sebab itu, saya memilih selongsong telefon pintar sebagai tema itu,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Katanya, aplikasi cat kereta di atas selongsong yang diperbuat daripada bahan perspeks bukan satu tugas senang kerana bahan itu mudah pecah dan memerlukan ketelitian yang tinggi dalam mereka bentuk selongsong.

Mengulas lanjut, selongsong iPhone berdiri sebagai perlambangan kuasa membeli rakyat Malaysia dan pembangunan ekonomi negara yang mapan.

“iPhone bukan lagi jenama yang asing bagi kita, malah hampir seluruh rakyat terutama golongan kelas pertengahan mampu memilikinya,” katanya kini yang merancang untuk mengadakan pameran solo.

Sementara itu, potret yang mewarnai kanvas karya Ahmad Shukri memperlihatkan wajah-wajah pelbagai kaum di Malaysia. Setiap imej mewakili kaum Melayu, Cina dan India yang sedang menghadiri rumah terbuka.

Diinspirasikan dari era klasik, Ahmad Shukri mahu menyampaikan bahawa kefahaman rakyat mengenai hidup secara harmoni dalam pelbagai kaum telah lama difahami.

Katanya, hanya pendekatan kerajaan dan perbezaan ideologi politik membawa kepada perbezaan fahaman berkaitan hidup aman dalam pelbagai kaum.

“Kita telah lama hidup dalam suasana yang aman damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Itu yang saya cuba sampaikan dalam karya ini.

“Namun, perlu diingat bahawa bukan mudah untuk menjaga keharmonian itu,” katanya yang menjelaskan lukisan tumbuh-tumbuhan berselirat dan kewujudan imej kucing serta burung membawa maksud pertelingkahan serta cabaran.

Menggabungkan material seperti papan lama, suis lampu klasik, karya Open House “SOLD” adalah naratif budaya saling kunjung mengunjung di Malaysia.

Hampir dua tahun bertungkus lumus menyiapkan karya itu, kekayaan biodiversiti negara turut diketengahkan dalam karya yang sama.

Kewujudan lukisan hutan sebagai latar belakang pemandangan rumah, membawa maksud bahawa Malaysia merupakan negara yang kaya dengan khazanah alam dan ia perlu dipertahankan.

Elemen kepercayaan feng shui dalam masyarakat Cina juga diterapkan melalui penggunaan nombor ‘8’.

“Lapan sering membawa maksud ong atau bagus bagi masyarakat Cina. Ia secara tidak langsung menggambarkan harapan saya untuk Malaysia supaya terus ke hadapan,” katanya.

 

Ditulis oleh: Ahmad Isyafiq Mad. Desa

Diterbitkan oleh: Kosmo!

Tarikh Terbitan: 22hb September 2014

 


Comments are closed.