Warung Lambang Perpaduan Rakyat

Karya Warung Kita: Teh Tarik dan Nasi Lemak, nukilan Suhaimi Fadzir mengangkat erti perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia

Sekali imbas menyaksikan karya tiga dimensi (3D) eksperimentasi Warung Kita: Teh Tarik dan Nasi Lemak terdapat pelbagai naratif yang ingin disampaikan.

Mengangkat tema warung, pengkarya terkemuka tanah air, Suhaimi Fadzir cuba menyampaikan isu perpaduan melalui gabungan seni dan arkitek.

Suhaimi yang terkenal dengan seni kontemporari, campuran media dan campuran lukisan serta arkitek (archipainting) memastikan setiap elemen dan objek yang disemadikan dalam karyanya membawa tafsiran yang bermakna.

Katanya, tema warung diangkat kerana Malaysia yang kaya dengan pelbagai makanan menarik selain keupayaan warung menyatupadukan rakyat.

“Karya ini terhasil melalui pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap setiap peristiwa yang berlaku di warung.

“Uniknya menjamu selera di warung, kita boleh menyaksikan pelbagai kaum India, Cina dan Melayu duduk dalam suasana harmoni sambil menikmati hidangan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Art Cube Gallery, The Intermark Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, selain menggambarkan perpaduan, ia turut membawa maksud jati diri. Imej seperti nasi lemak dan teh tarik digambar secara simbolik di atas kanvas tersebut.

Teh tarik dan nasi lemak adalah perlambangan kepada jati diri rakyat Malaysia. Jelasnya, ke mana sahaja dia merantau kedua-dua hidangan itu pasti dirindui.

“Bukan sahaja saya, malah rakyat Malaysia yang merantau di luar negara pasti merindu dua hidangan ini. Ke mana sahaja kita berada, jiwa Malaysia kita sentiasa kukuh,” katanya yang sering berulang-alik ke Amerika Syarikat.

Mempunyai kepakaran sebagai arkitek selama 10 tahun, Suhaimi mempraktikkan kelebihan itu dalam setiap karyanya.

Dalam karya Warung Kita: Teh Tarik dan Nasi Lemak, komposisi setiap material yang digunakan perlu ditempatkan dengan kiraan sudut dan matematik yang tepat supaya ia tidak runtuh.

Bahan buangan seperti kayu yang diletakkan bersilang, bekas minuman, batu lesung dan kereta sorong antara material yang terdapat dalam karyanya.

Suhaimi menjelaskan setiap material yang diletakkan membawa maksud yang berbeza. Ia juga material yang sering terdapat di sebuah warung.

“Walaupun ini adalah karya eksperimentasi, kita tidak boleh sewenang-wenang meletakkan segala material dalam sesebuah karya. Kebanyakan material yang digunakan adalah alatan lazim di sebuah warung,” katanya yang mengambil tempoh selama dua tahun untuk menyiapkan karya itu.

Penggunaan pelbagai lapisan warna ceria antaranya, merah dan kuning diaplikasikan dalam karyanya itu.

Bukan itu sahaja, aspirasi karya Suhaimi turut menyerlahkan daya kreativiti dan kehalusan dalam setiap sentuhan seni yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.

Karya Suhaimi boleh disaksikan di Artcube Gallery dengan kerjasama Core Gallery sehingga 21 September ini pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.

 

Ditulis oleh: Ahmad Isyafiq Mad. Desa

Diterbitkan oleh: Kosmo

Tarikh terbitan: 15 September 2014

 


Comments are closed.