Interpretasi Anomali Jamil Zakaria

“Lukisan dilihat sebagai sebuah arca dan arca dilihat sebagai sebuah lukisan. Perbezaan di antara dua genre ini kelihatan semakin pudar kerana kehadiran elemen garisan” Jamil Zakaria

 

Pernahkah anda menemui atau ‘melalui’ sendiri binaan arca dengan formasi lebih 200 batu-bata wayar besi? Bunyinya seperti sebahagian daripada prop dunia fantasi seperti itulah realiti hasil seni kontemporari nukilan Jamil Zakaria.

 

Bagaimana perjalanan anda sebagai anak seni pada awal pembabitan?

Seperti kebanyakan pengkarya pelapis daripada generasi saya, kami memulakan rentak selepas menamatkan pelajaran di universiti. Saya tertarik dengan elemen asas garisan seperti yang terdapat pada material jerami dan wayar besi. Dari situ, saya mendalami teknik yang betul dan hasilnya saya menyiapkan karya yang pertama bertajuk ‘Bertegang Leher’ pada tahun 2010.

Dari manakah anda mendapat ilham untuk mempelbagaikan konsep karya arca dan pemasangan?

Dahulunya, ungkapan peribahasa tradisi dijadikan bahan humor sesama rakan-rakan dahulu. Saya tidak sangka ia berjaya memberikan saya inspirasi mendalam untuk dijadikan karya seni kontemporari. Kini, saya melihat kata-kata tersebut dengan lebih serius dan menyingkap maksud di sebalik sebarang simbolisma literal. Dengan cara itu, pemerhati seni dapat menginterpretasi sesebuah karya tersebut daripada sudut yang pelbagai.

Mungkin boleh ceritakan serba sedikit mengenai proses penghasilan karya seni anda.

Saya percaya, artis seni kontemporari yang lain juga melalui proses lama dan memenatkan dalam menyiapkan lukisan dan arca mereka. Untuk menghasilkan arca daripada bahan wayar besi ini, saya menggunakan bahan seperti batu-bata, kayu dan styrofoam yang dibakar untuk membentuk figura wayar besi tertentu.

Proses ini memerlukan pengorbanan masa yang lama. Bukan sahaja menghasilkan sebuah karya asli tetapi saya melalui proses mereka, prototaip dan penambahbaikan. Itulah sebab saya lebih selesa bekerja sendiri tanpa bantuan kerana saya tahu bukan semua orang mempunyai kesabaran itu.

Karya terbaru yang dipersembahkan adalah arca tergantung untuk pameran Grande di Core Desigh Gallery.

Ya, arca yang dinamakan ‘Headless Chicken’ ini adalah langkah permulaan saya dalam mengeksplorasi material stainless steel atau besi tahan karat. Saya memerlukan masa untuk menguasainya terlebih dahulu dengan model prototaip. Ini demi menghasilkan tekstur dan visual menarik melalui dua jenis tona wayar yang berbeza. Walaupun stainless steel memerlukan kos yang lebih tinggi, hasilnya cukup memuaskan hati.

Apakah perancangan anda terutamanya dalam masa terdekat ini?

Buat masa sekarang ini, saya sedang berusaha untuk memperbaiki teknik yang diaplikasi selain mencuba menggunakan material baru seperti wayar gangsa dan kuprum (copper). Sudah tentu, saya mengidamkan sebuah pameran solo apabila tiba masa yang sesuai nanti.

 

Penyelaras & Penulis: FZ Aimman

Diterbitkan Oleh: Majalah IMPIANA

Tarikh Terbitan: Oktober 2014

 


Comments are closed.