Interpretasi hitam putih di pameran Soya Cincau

Pameran yang kini berlangsung di Galeri Core Design sehingga 7 Disember ini, menampilkan interpretasi 14 artis kontemporari terhadap tema hitam putih.

Visi untuk mengadakan pameran ini hasil daripada perbualan antara pengarah galeri, Scarlette Lee, dengan artis Ali Nurazmal Yusoff tentang impak visual jika ruang galeri yang monokrom dipenuhi karya hitam putih.

“Kami tertarik semasa membayangkan artis di pelbagai tahap karier mereka menghasilkan karya yang berwarna-warni dari aspek konsep, makna dan respons sungguhpun hitam putih,” kata Ali, yang turut menjadi kurator tetamu untuk pameran ini, di samping hasilkan lukisan minyak The Glory.

Antara artis lain dalam pameran ini ialah Shaliza Juana, yang mencipta instalasi tentang suka-duka dan ketidaktentuan hidup.

Azrin Mohd pula membawa karya tiga dimensinya (3D) What’s Wrong with Them? Dengan menyambungkan gambar beberapa pemimpin terkenal yang tertentu kepada tengkorak berisi ulat yang dicetak 3D.

Menariknya, Jamil Zakaria yang biasa menggunakan jaringan dawai keluli, kali ini menghasilkan dua buah arca potret realis – Haluan Kiri dan Usia – daripada wayar ayam (chicken wire).

Karya Shafarin Ghani, Rohtang, menggambarkan dialog antara dirinya dengan persekitaran di Rohtang Pass, banjaran Himalaya. Dalam pada itu, Nota Baru, karya sketsa artis kaligrafi Husin Hourmain, adalah hasil renungan terhadap proses pembelajaran sepanjang hayat.

 

Diterbitkan oleh: Sinar Harian

Tarikh Terbitan: 23hb November 2014.

 


Comments are closed.