Simbolik Soya Cincau

14 artis gambarkan pengertian di sebalik warna hitam dan putih.

 

Mengapa soya dan cincau? Apa di sebalik tema yang dibawa 14 artis dalam pameran Soya Cincau terbaru di Galeri Core Design menjadi tanda tanya.

Simbolik daripada tema itu, kurator jemputan, Ali Nurazmal Yusoff ingin berkongsi dengan penonton mengenai perkara asas yang datangnya tidak berwarna tetapi hanyalah hitam dan putih.

Menurut beliau, ia dinamakan berdasarkan minuman soya cincau kerana menampilkan karya hitam dan putih, meliputi semua medium – cat, lukis, arca, foto dan instalasi.

“Ia juga umpama satu tugas kepada artis untuk menterjemahkan skim warna monokromatik mengikut idea masing-masing. Jika karya mereka diliputi pelbagai warna tetapi menekankan ia sebagai hitam dan putih, pasti ada makna simbolik pada karya itu.

“Meskipun pameran ini bertemakan hitam putih, matlamatnya adalah untuk membolehkan penonton menyelami kepelbagaian cerita, konsep dan warna dalam seni kontemporari Malaysia.

“Tidak terikat kepada itu saja, soya cincau turut mewakili masyarakat majmuk negara di mana wujudnya campuran sosial, campuran makanan dan campuran nilai budaya tetapi mereka tetap kembali kepada perkara asas,” katanya yang turut melahirkan dua hasil seni terbaru.

Artis lain yang turut menyertai pameran ini ialah Annabelle Ng, Ashriq Suddin, Azrin Mohd, Chuah Shu Ruei, Haafiz Shahimi, Husin Hourmain, Husin Othman, Jamil Zakaria, Muhammad Nazri Tahir, Shaliza Juana, Raja Lope Rasydi, Benedetta Segala Ghani dan Shafarin Ghani.

Penulis sempat menemubual Benedetta, artis kontemporari wanita kelahiran Itali yang aktif di dalam dan luar negara menerusi pelbagai pameran lukisan dan arca.

Beliau yang memulakan minat melukis sejak berusia 14 tahun muncul dengan instalasi kayu hitam dan putih berjudul “Dalle Guerra al Pensiero” yang mempunyai makna berkaitan kehidupan.

Artis kelahiran Pulau Pinang, Shafarin muncul dengan sebuah lukisan untuk beliau meluahkan perasaannya yang melalui pelbagai peristiwa sukar sewaktu berada di Rohtang, pergunungan Himalaya.

Pameran ini berlangsung sehingga 15 Disember ini.

 

Ditulis oleh: Siti Salmiah A Hamid

Terbitan: Harian Metro

Tarikh Terbitan: 21hb November 2014

 


Comments are closed.