Figuratif emosi Muhammad Nazri

Cinta, benci dan kematian merupakan tiga perasaan yang sering menghantui karya anak muda berasal dari Ulu Yam, Selangor yang berjudul Drama Queen.

 

PELBAGAI permainan emosi dapat disaksikan dalam karya Muhammad Nazri Tahir, 25, menerusi tiga nukilan yang bertajuk Drama Queen.

Drama Queen memperlihatkan tiga subjek dalam kanvas berbeza tetapi mempunyai kaitan penceritaan antara satu sama lain.

Komposisi subjek menjadi keutamaan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu dalam memastikan wujud konflik antara setiap karakter.

Bertemakan monokrom, Muhammad Nazri meletakkan dirinya dalam naratif menerusi kewujudan watak lelaki dalam karya tersebut.

Monokrom adalah karya yang menggunakan satu warna sahaja. Gemar menghasilkan karya berunsur figuratif, pergerakan dan emosi, setiap emosi karakter bergantung kepada ketelitian garisan dan lakaran.

Selain itu, kaedah figuratif memberikan ruang kepada pemerhati untuk menyelami karyanya.

Menggunakan medium akrilik dan arang, Muhammad Nazri bijak mencetuskan unsur misteri, kebencian, keterujaan dalam setiap karyanya.

“Saya gemar menghasilkan karya yang melibatkan penggunaan pelbagai warna. Khas untuk pameran bertemakan Soya Cincau, karya kali ini mencabar kebolehan saya dalam menerapkan tema monokrom.

“Cabaran utama karya monokrom ialah menyampaikan emosi yang berbeza dalam menggunakan palet warna yang sama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor.

Mengambil masa selama tiga hari untuk menghasilkan ketiga-tiga karya itu, karakter berkenaan diinspirasikan daripada dua rakan baiknya manakala subjek lelaki adalah dirinya dalam bentuk lukisan.

Muhammad Nazri yang mula berkecimpung dalam dunia seni sebagai pelukis mural memberitahu, dia gemar menghasilkan karya dengan pengaruh Art Nouveau.

Art Nouveau bermaksud gaya dekoratif yang popular pada tahun 1890-an bercirikan alunan tumbuhan yang menjalar, binatang dan rupa yang mendatar.

 

Bunga kertas

Menerusi karya tersebut, anak kedua daripada lima adik-beradik itu mengangkat bunga kertas sebagai lambang feminisme.

Selain itu, kewujudan bunga kertas tersebut secara tidak langsung menambah elemen kekacauan dalam karyanya.

Muhammad Nazri memberitahu, untuk menghasilkan karya yang penuh emosi seperti cinta dan benci, seseorang individu perlu melalui sendiri pengalaman itu.

“Jika kita tidak pernah mengalami perasaan itu, pasti sukar melahirkan perasaan tersebut di atas kanvas,” jelasnya.

Dia memberitahu, kaedah pembelajaran ketika mula meminati dunia lukisan seawal usia enam tahun ialah menekap karakter kartun.

Selepas berjaya melukis setiap karakter kartun, dia mula menambah baik kartun tersebut dengan lakaran seperti otot dan pemandangan.

Menginjak dewasa, Muhammad Nazri aktif dalam melukis mural kerana dinding umpama kanvas yang luas baginya.

Pemegang Anugerah Insentif Galeri Shah Alam 2012 itu membuat keputusan melanjutkan pengajian ke universiti bagi mendalami ilmu teori dalam lukisan.

“Saya percaya setiap pelukis perlu mempunyai ilmu. Saya melanjutkan pengajian supaya mempunyai keseimbangan teori dan praktikal.

“Melalui pembelajaran di universiti, ia membawa kepada percambahan idea baharu selain mencari identiti sebelum terjun dalam industri ini,” kata peminat karya Leonardo Da Vinci dan Damien Hirst itu.

 

Ditulis oleh: Ahmad Isyafiq Mad. Desa

Diterbitkan oleh: Varia , Kosmo! 2

Tarikh Terbitan: 01hb Disember 2014

 

 


Comments are closed.