Memori kampung dalam seni kanvas

Pendatang baharu Husin Othman mahu dikenali sebagai prolifik yang melakar memori kehidupan anak kampung dalam setiap karyanya.

Menyaksikan nukilan Husin Othman, 27, pasti membuatkan pengunjung tersenyum sendirian. Mengangkat dua watak sebagai subjek, ia menonjolkan hubungan pertalian darah yang erat antara seorang abang dan adik.

Husin memberitahu lukisan itu diilhamkan daripada kenangan manis zaman kanak-kanaknya ketika membesar bersama tujuh adik beradik di Kampung Parit Tok Kip, Kuala Kurau, Perak.

Menamakan karya tersebut sebagai Siri November, ia terbahagi kepada dua cerita iaitu Terik Pagi dan Riuh Petang yang berlatar belakangkan suasana kampung.

“Subjek dalam lukisan ini adalah memori saya ketika membesar bersama adik beradik yang lain. Saya sangat rapat dengan abang dan kami sering bermain bersama-sama.

“Ini adalah antara kenangan manis kami bersama dan diilhamkan dalam sebuah kanvas,” kata ana ketujuh daripada lapan beradik itu.

Siri November memperlihatkan keupayaan graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu bereksperimentasi dengan latar belakang yang berbeza tetapi mengaplikasikan komposisi yang sama.

 

Cabaran

Riuh Petang merupakan penceritaan kedua-dua beradik itu dalam menghadapi banjir dan berusaha melindungi adiknya manakala dalam Terik Pagi pula, kedua-dua watak tersenyum lebar dan asyik bermain dengan kotak kayu mereka.

Bercerita lebih lanjut, Husin menjelaskan bahawa cabaran dalam menghasilkan karya tersebut ialah melahirkan suasana musim tengkujuh dengan penggunaan palet yang minimum.

“Bagi melahirkan emosi masa lampua, saya mengaplikasikan warna monokrom. Teknik sapuan secara rawak dan spontan menggunakan berus lukisan merupakan kaedah untuk menperkemaskan karya.

“Oleh sebab itu, Siri November dimonopoli warna kusam seperti putih, hitam dan kelabu,” tuturnya.

Bercerita mengenai ketelitiannya dalam berkarya, Husin amat menitikberatkan faktor emosi. Katanya, dia mahu perasaan rindu wujud dalam kalangan pemerhati tatkala menyaksikan lukisannya.

“Sesiapa sahaja yang meneliti lukisan Siri November pasti kembali merindui suasana kampung halaman masing-masing.

“Selain itu, ia juga membuka ruang dalam kalangan generasi muda masa kini untuk mengenali corak kehidupan masyarakat di luar bandar,” ujarnya yang baharu tamat mengadakan pameran Siri November di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor yang bertemakan Soya Cincau.

Bertemakan suasana kampung panorama yang sering menjadi pilihannya ialah musim tengkujuh, banjir; bendang dan sungai yang mengalir. Dalam karya Siri November, Husin memilih latar belakang suasana banjir, angin dingin dan tengkujuh.

Walaupun ilham Husin hadir daripada pengalamannya, dia tetap memperbanyakkan bahan bacaan dan mengaplikasikan setiap teori yang dipelajari sepanjang menuntut di UiTM.

“Antara kaedah yang gunakan ialah merakam panorama yang menambat hati kemudian dilukiskan semula di atas kertas lukisan sebelum pada kanvas. Bermula dari situ, idea akan bertambah dan membaiki lukisan sehingga mencapai kepuasan diri,” katanya.

 

Detik berharga

Kematangan artis dilihat dalam meluaskan keupayaan mereka melalui corak lukisan abstrak dan gabungan karya seperti abstrak dan instalasi. Namun, Husin menegaskan, dia selesa dirinya dikenali sebagai figura yang memperjuangkan suasana kampung.

Tanpa perasaan janggal, Husin berkata, pengalaman hidup sebagai anak kampung merupakan detik berharga dalam dirinya.

“Walaupun kita melalui suasana kehidupan yang serba moden, jangan sesekali lupa menoleh ke belakang seketika dan menilai kehidupan di masa lampau. Pengalaman dan sejarah adalah guru yang terbaik di dunia,” tegasnya.

Pengenalan dalam dunia lukisan bermula pada zaman kanak-kanak apabila dia gemar menekap lukisan dan menghasilkan karya baharu melaui hasil tekapan.

Imej seperti karakter kartun dan pemandangan menjadi pilihan Husin kerana ia mudah ditiru.

“Setiap kali ada masa terluang, saya akan menekap apa sahaja imej di sekeliling. Imej seperti karakter kartun, pemandangan sering menjadi pilihan saya. Bermula dari situ, saya mengasah kreativiti dan kemahiran melukis,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan jangka masa panjang sebagai artis, Husin berkata, dia mahu memperkukuhkan namanya dan dikenali dalam industri tersebut.

 

Ditulis oleh: Ahmad Isyafiq Mad. Desa

Diterbitkan oleh: Kosmo! 2 – Varia, Kosmo

Tarikh terbitan: 15hb Disember 2014

 


Comments are closed.