Idea pameran ini berpunca daripada keinginan pihak galeri untuk mewujudkan ruang galeri yang minimal dan monokrom, di mana karya-karya seni hitam putih memberi kesan kepada pengunjung.

Sungguhpun pameran ini bertemakan hitam putih, matlamatnya adalah supaya penggemar seni dapat mengalami kepelbagaian cerita, konsep dan warna dalam seni kontemporari Malaysia.

Dengan mengehadkan penggunaan warna kepada hitam dan putih, isi karya seni dan niat artis semasa mencipta karya mereka akan lebih nyata dan terserlah.

Oleh itu, pameran Soya Cincau akan mendorong artis supaya memberi tumpuan kepada elemen seni asas untuk menyampaikan subjek mereka.

Seni monokromatik bukanlah perkara yang baru, tetapi telah bermula semenjak zaman prasejarah, apabila manusia Paleolitik melukis hidupan liar dengan arang, menghasilkan karya yang sekarang dikenali sebagai lukisan gua Lascaux.

Artis terkenal Sepanyol, Pablo Picasso, juga sering tertarik untuk membuat karya dengan hitam dan kelabu, tanpa distraction of colour, seperti yang dikatakannya.

Contohnya, karyanya yang bertajuk Guernica– ulasan dalam bentuk lukisan tentang pengeboman Guernica, sebuah bandar di Sepanyol, oleh pihak Nazi – membangkitkan respon yang kuat daripada khalayak tanpa memerlukan warna untuk menggambarkan keganasan dan kemusnahan.

Pameran Soya Cincau ini juga penting kerana ia menandakan kali pertama artis Ali Nurazmal Yusoff, akan memainkan peranan kurator di pameran ini.

Core Design Gallery, bersama-sama Ali, teruja kerana dapat memberi peluang kepada artis dari pelbagai genre untuk menginterpretasikan konsep dan warna-warna menyerlah dalam masyarakat Malaysia – walaupun dalam batasan skim warna monokromatik.

Artis-artis yang menyertai dan turut menyumbangkan hasil karya pameran Soya Cincau ialah Ali Nurazmal Yusoff, Annabelle Ng, Ashriq Suddin, Azrin Mohd, Chuah Shu Ruei, Haafiz Shahimi, Husin Hourmain, Husin Othman, Jamil Zakaria, Muhammad Nazri Tahir, Raja Lope Rasydi dan Shafarin Ghani.

Karya Ali Nurazmal Yusoff, The Glory, yang dilukiskan dengan strok ringan dan ekspresif, menggambarkan euforia yang dialaminya ketika dia tiba di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

Jelasnya, melalui lukisan ini, dia ingin menggambarkan tentang keseronokan apabila sesuatu matlamat sudah tercapai antaranya matlamatnya sendiri untuk menawan puncak gunung Kinabalu.

Seperti kebiasaan Raja Lope pula menggunakan teknik semburan atau air brush melalui karya lukisannya. Kebiasaan beliau bekarya iaitu dengan memaparkan konsep wayang kulit dan batik Melayu, kali ini Raja Lope turut menghasilkan karya arca yang menarik untuk dibincangkan.

Bercerita mengenai dirinya sendiri, Raja Lope pandai menyusun atau mencipta karya berbentuk arca ini dengan garapan menarik tentang dirinya sebagai pelukis.

Dua pelukis muda, Husin Othman dan Muhammad Nazri Tahir juga nampaknya berjaya menterjemahkan tema Soya Cincau yang dipilih oleh pihak Galeri Core Design.

Karya masing-masing cuba bermain dengan dua warna sahaja iaitu hitam dan putih yang juga melambangkan tentang erti serta sejarah kehidupan masing-masing.

Hasil seni mereka ada menceritakan mengenai perjalanan hidup serta pengalaman pada zaman kecil dengan hanya dihiasi dengan dua tona warna sahaja.

Chua Shu Rei juga pelukis muda cuba menerangkan erti dunia sebenar melalui karyanya berjudul Turning. Karya yang diketengahkan menggunakan teknik campuran media (mix media) ini cukup menarik.

Pameran Soya Cincau kini sedang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor.