Sisi Melankolik Annabelle Ng

Bagi diri Annabelle, perjalanan seninya dilihat masih jauh daripada titik akhir namun itulah yang cuba disampaikan dalam setiap karya yang dihasilkan. Proses yang dilaluinya itu dinilai sebagai sesuatu yang lebih bermakna dan dijadikan sebahagian daripada karya seninya.

“Saya atau kita semua tidak mempunyai jawapan kepada semua jenis persoalan tetapi seni installation mampu menarik minda kita untuk berfikir dan bertukar pendapat” – Annabelle Ng.

 

APAKAH KATALIS YANG MENCETUSKAN INSPIRASI KEPADA DIRI ANDA?

Saya menganggap diri ini masih baru dalam industri seni kontemporari dan semestinya memerlukan masa untuk bereksperimentasi. Apapun, inspirasi dalam setiap satu projek seni yang terhasil setakat ini datang daripada hati luhur seorang insan biasa yang melalui kehidupan seperti orang lain. Ada tinggi dan rendahnya.

Setiap percubaan baharu merupakan sebuah permulaan untuk mengeksplorasi diri saya dalam konteks tertentu seperti ruang, masa dan bunyi. Saya mengambil persekitaran sinonim seperti deria manusia sebagai subjek utama. Kadangkala kita lupa untuk mengambil sedikit masa dan melihat keadaan di sekeliling.

 

ANDA PERNAH TERPILIH UNTUK MELIBATKAN DIRI DALAM PELBAGAI PAMERAN SENI. CERITAKAN SEDIKIT.

Bermula daripada yang pertama pada tahun 2010 dengan tema Deadlines, saya kemudiannya dijemput untuk menyertai World Event Young Artist (WEYA) pada bulan September 2012. Tanpa mengira sama ada ia adalah pameran tempatan mahupun antarabangsa, saya akan sentiasa cuba untuk mengangkat karya lebih konstruktif dan ‘provokatif’.

 

PROVOKATIF?

‘Provokatif’ di sini tidak bermaksud untuk menghina atau mencabar prinsip sesiapa. Ia lebih menjurus kepada mencabar intelek sang pemerhati untuk berfikir dan menganalisis.

 

BOLEH CERITAKAN SERBA SEDIKIT MENGENAI TRANSISI MEDIUM INSTALLATION ANDA?

Teknikal sedikit ya. Saya cuba untuk memasukkan elemen bahan terpakai, terawat dan objek berlainan seperti tanaman hijau dan suis elektrikal. Ia melihatkan kontras antara bahan lama dan baharu.

Dalam installation bertajuk Morphos II, saya menitipkan unsur persembahan di mana setiap karakter tanaman adalah berlainan – simbol pemeliharaan sumber hijau dan masa. Ia adalah sebuah morfologi seni di mana pemerhati diajak untuk menilai kembali konteks keperluan dan kehendak. Adakah memelihara variasi tanaman ini menjadikan saya lebih mesra alam ataupun ia hanya dilihat sebagai objek monumental yang menghalang interaksi tanaman dengan alam sekitar.

 

BAGAIMANA PULA DENGAN PROJEK ANDA SEMPENA ART EXPO 2014?

Peluang untuk berada di pentas Art Expo bersama projek Great Malaysian Contemporary Art (GMCA II) telah saya gunakan sepenuhnya. The Notation berkisarkan perjalanan masa dan pengalaman silam yang kerap berlegar di kotak minda. Saya percaya semua orang pernah melalui detik itu.

Jika anda perhatikan kepada cetakan foto yang disusun di atas, ia lebih menjurus kepada dokumentasi imej pintu dan tingkap. Ini kerana imbasan memori saya tertarik kepada pelbagai jenis ruang fizikal yang pernah dihuni sebelum ini. Berbeza pula dengan refleksi kepingan perspeks di bahagian bawah. Ia merekodkan pengalaman semasa saya yang kini lebih serius dalam bidang seni.

 

PADA PENDAPAT ANDA, ADAKAH MASYARAKAT SUDAH BERSEDIA DENGAN KARYA KONTEMPORARI YANG MENCABAR MINDA PEMERHATI?

Sebagai seorang pengkarya seni kontemporari, saya gemar dengan idea interaksi masyarakat bersama objek seni mengikut cara mereka sendiri. Subjek kontemporari nyata lebih dekat dengan senario yang sedang melanda zaman kini dan pemerhati seni di luar sana tidak mempunyai masalah untuk memahami konteks seni kontemporari. Namun, saya akur orang ramai memerlukan masa dalam mendalami dan menghargai seni installation.

 

 

Ditulis oleh: FZ Aimman

Diterbitkan Oleh: Galleria Impiana – IMPIANA Magazine

Tarikh Terbitan: Disember 2014.

 


Comments are closed.