Landskap kembali cetuskan ilham berkarya

>> 13 pelukis tempatan tafsir alam semula jadi

 

Penguasaan karya berbentuk abstrak dan figuratif dalam seni kontemporari sedikit sebanyak menenggelamkan hasil seni bertemakan landskap sehingga tidak hairanlah ia menjadi pencetus ilham kepada Pameran The Grass is Greener on this Side di Galeri Core Design, Subang Jaya, yang berlangsung sehingga 12 Mac depan.

Pameran yang menyatukan 13 artis tempatan dan menggabungkan pelukis mapan serta baharu itu, memberikan kebebasan kepada mereka melakukan interpretasi terhadap landskap Malaysia, selain turut menjemput artis Itali, Benedetta Segala Ghani sebagai kuratornya.

 

Unsur semula jadi dilupakan

Ghani ketika ditemui oleh Galeri BH di Galeri Core Design, Subang Jaya, baru-baru ini, berkata arus kemodenan menyebabkan unsur semula jadi semakin dilupai, sekali gus meyakini pelukis perlu memberikan kesedaran sosial menerusi karya lukisan mereka.

“Pameran ini membawa kepada banyak tafsiran termasuk hubungan kontemporari dengan alam semula jadi yang mengungkapkan kehidupan kita apabila geografi berubah lebih pesat berbanding mana-mana fasa dalam sejarah.

 

Landskap, kunci emosi

“Dalam seni, landskap sering menjadi kunci berharga kepada emosi manusia dan mungkin ia cara paling mudah untuk menghargai identiti kita yang sebenar,” katanya pada sesi temu bual yang turut dihadiri pemilik Galeri Core Design, Scarlette Lee.

Karya berjudul Untuk Mencipta, Pertama Sekali Ia Perlu Dibinasakan oleh Haafiz Shahimi antara yang menonjol terutama pemilihan tekniknya, iaitu cetakan haba di atas kanvas.

“Teknik Pyrography yang masih asing dalam kalangan khalayak seni dipilih untuk pameran ini. Ia sebenarnya agak rumit kerana saya perlu melakukannya dengan cepat, teliti dan berhati-hati kerana bimbang kanvas terbakar apabila api dinyalakan.

“Ia memerlukan latihan yang banyak untuk mendapatkan kemahiran pyrography dan api menjadi medium yang menggantikan penggunaan berus atau pensel untuk lakaran,” katanya.

Interpretasi landskap oleh Yim Yen Sum pula turut menampilkan keunikan apabila beliau mempamerkan karya instalasi, Let Me Tell You a Story yang berbentuk gelung dengan bulatan yang berulang.

“Saya lebih selesa dengan karya instalasi kerana ia bukan saja lebih dekat dengan khalayak, bahkan mereka boleh menyentuh hasil seni ini dengan memberikan pandangan tersendiri.

 

Karya gelung, unik

“Gelung ini ibarat kumpulan memori menyimpan segala yang pernah dilalui dan mungkin sebahagiannya sudah dilupakan. Saya menggunakan besi yang dilentur sehingga menjadi bentuk bulatan sebelum dibalut dengan kain perca daripada pakaian koleksi sendiri,” katanya.

Antara karya lain yang turut menggamit perhatian adalah lukisan M Shafarin Ghani menerusi Tingret; Husin Othman (Sepi); Raja Lope Rasydi Raja Rozlan (Realm of the Verticall Horizone) dan Ong Oh Hup Hoe (7th Heaven Series 9).

 

 

Ditulis oleh: Latifah Arifin

Diterbitkan oleh: BH2, Berita Harian

Tarikh Terbitan: 30hb Januari 2015

 

 


Comments are closed.