Putih, Hitam 1,001 gejolak rasa

>> Pelukis luah kreativiti guna warna minimum dalam Pameran Soya Cincau

 

Warna bagi pelukis menjadi aspek penting yang dapat menyuntik ‘nyawa’ dalam karya dihasilkan, justeru bagaimana agaknya jika anda hanya diberi pilihan memilih antara putih dan hitam untuk ‘melukiskan’ gejolak rasa yang dialami.

Menghasilkan karya yang terhad kepada dua warna itu bukan cabaran mudah kepada 14 artis yang menyertai Pameran Soya Cincau yang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya, baru-baru ini.

‘Kekangan’ itu memaksa kumpulan pelukis melakukan eksplorasi kreatif dalam memastikan ‘rasa’ yang ingin disuntik ke dalam karya dapat diterjemahkan oleh peminat seni.

 

Warna minimum tambah tarikan

Bagi pelukis, Husin Othman, penggunaan warna yang minimum bukan setakat menggambarkan kekaburan kisah masa lalu, bahkan menambahkan tarikan dan memberi perincian yang lebih pada sesuatu karya.

Lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menghasilkan dua karya, iaitu Siri November: Terik Pagi dan Riuh Petang bijak menyeimbangkan aspek visual dalam karyanya termasuk unsur cahaya dan gelap dengan subjek serta pemandangan.

Seperti digambarkan penulis seni, Zoey Moo, garis berus yang digunakan Husin, meskipun ada kalanya berbaur-baur antara spontan dan sengaja, ia menonjolkan teknik mengagumkan dengan penggunaan akrilik.

Secara konsepnya, kata Husin, karya itu memberi gambaran diari visual berkaitan dua situasi yang mungkin serupa dari sudut lokasi dan karakter, tetapi sebenarnya berbeza.

“Ia menggambarkan kemungkinan seseorang individu mengalami kegembiraan dan kedukaan dalam setiap peristiwa yang dilalui.

“Meskipun tidak semestinya memberi konotasi negatif seperti difikirkan, saya cuba mengembangkan tanggapan yang menggembirakan termasuk situasi gembira dan duka itu menjadi bermakna sekiranya dilalui bersama mereka yang disayangi,” katanya kepada Galeri BH.

 

Platform asah kemahiran

Bagi Jamil Zakaria, Soya Cincau menjadi platform untuk membangun kemahiran teknikal baharu dengan penggunaan dawai kawat besi berbanding jaring dawai besi yang biasa digunakannya.

“Saya menghasilkan dua arca, iaitu Usia dan Haluan Kiri, sekali gus menjadi percubaan pertama saya dalam membentuk arca potret realisme.

“Jika dibandingkan dengan arca sebelum ini, kedua-dua arca terbaharu tampil lebih padat dengan beberapa lapisan dawai pada bahagian wajah bermula dengan hidung yang menjadi tumpuan pada karakter ditampilkan,” katanya.

Menurut Jamil, antara cabaran yang dihadapi ialah meniru dan membayangkan wajah mereka yang tidak pernah ditemuinya dalam bentuk tiga dimensi.

Untuk melakukannya, Jamil terpaksa menggangar jarak dan ukuran setiap struktur pada arca berkenaan bermula daripada ketinggian hidung hinggalah bentuk wajah.

 

Ditulis oleh: Siti Haliza Yusop

Diterbitkan oleh: Galeri BH, Berita Harian

Tarikh Terbitan: 12hb Disember 2014

 

 


Comments are closed.