Haafiz sampaikan mesej alam sekitar

Penggunaan api memberikan gambaran jelas mengenai kerakusan manusia menarah keindahan alam semula jadi sehingga menjejaskan ekosistem.

 

SIAPA sangka, berbekalkan bahan binaan buangan dan api, sebuah lukisan indah penuh nilai komersial dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan.

Mengambil inspirasi kaligrafi kreatif dari China, sebuah lukisan yang bertemakan To Create, One must First Destroy lengkap dengan kisahnya. Para pengunjung pasti terpesona apabila melihat kehalusan dan kreativiti pelukis Haafiz Shahimi.

To Create, One must First Destroy diangkat sebagai tajuk karya hasil pemerhatiannya bahawa alam sekitar dan manusia berkait rapat dalam kehidupan.

Bagaimanapun, kerakusan dan sikap tamak yang bermaharajalela dalam diri seseorang membuatkan keindahan alam semula jadi dirampas atas dasar materialistik. Kemudian, alam semula jadi yang musnah itu dibangunkan dengan pelbagai bentuk bangunan.

Ironinya, apabila pembangunan semakin menjajah kelestarian alam sekitar, mereka menanam semula pokok-pokok untuk menghijaukan persekitaran tetapi menjejaskan nilai semula jadi ciptaan Allah.

Haafiz memberitahu, lukisan itu membenarkan pengunjung bereksperimen mengenai maksud yang cuba disampaikan sambil menganalisis perwatakan karya tersebut dari pelbagai sudut.

“Saya hanya mengambil inspirasi karya asal dari China tetapi mengolah mengikut kreativiti untuk disesuaikan dengan tema pameran kali ini.

“Kepada saya, dalam menghasilkan sesebuah lukisan, saya perlu bercerita dan menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Saya tidak mahu lukisan atau karya kosong tanpa cerita,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Core Design Gallery, Subang Jaya, Selangor.

 

Arang

Teknik yang digunakan Haafiz dalam menghasilkan karya tersebut adalah mencetak di atas kanvas selepas memanaskan segala bahan binaan terbuang seperti besi buaian, gergaji, besi cerucuk dan bahan lain iaitu arang.

“Saya juga menggunakan arang untuk menambah maksud landskap ini selain penyembur warna supaya lukisan ini tidak nampak terlalu kosong.

“Penghasilannya agak rumit kerana ia memerlukan ketelitian. Penggunaan haba kadangkala menyebabkan kanvas ini terbakar.

“Sebelum ini, ada lukisan yang terbakar. Oleh sebab itu, saya perlu berhati-hati menggunakan kreativiti supaya hasilnya seperti yang diingini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Haafiz memberitahu, dia menjalankan kajian sekurang-kurangnya empat tahun bagi mendapatkan lukisan berkualiti yang menggunakan teknik api atau haba.

“Saya melakukan banyak eksperimen kerana teknik ini agak sukar dan lukisan mudah rosak jika tersalah teknik.

“Sepanjang lima tahun terlibat dalam bidang lukisan, saya merasakan teknik ini sangat sukar tetapi apabila dapat menghasilkan produk yang berkualiti, ia cukup memuaskan hati,” jelasnya.

Haafiz memberitahu, sebelum ini sebanyak tiga buah lukisan yang menggunakan teknik haba berjaya dijual.

“Justeru, ia membakar minat saya untuk terus berkarya menggunakan pendekatan ini kerana nilai komersialnya yang begitu tinggi.

“Saya yakin, suatu hari nanti lebih ramai pelukis akan berani berkarya menggunakan teknik ini kerana ia sesuatu yang berbeza,” katanya.

 

Dituliskan oleh: Taufik Salimin

Diterbitkan oleh: Varia, Kosmo! 2

Tarikh terbitan: 16hb Mac 2015

 


Comments are closed.